2 kluster Covid-19 tamat pemantauan, rawatan


shadow

Kementerian Kesihatan berkata 2 kluster Covid-19 iaitu kluster Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor dan kluster di Sabah yang menghadiri perhimpunan tabligh Makassar, tamat pemantauan dan rawatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata bagi kluster Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid tiada kes baru Covid-19 dilaporkan untuk tempoh 28 hari.

“Kluster itu melibatkan 193 kes dan melibatkan 4 kematian,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata kluster di Sabah yang menghadiri perhimpunan tabligh Makassar melibatkan 9 kes dan tiada kematian.

Beliau berkata terdapat 2 kes kluster yang masih aktif sehingga hari ini iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur dan kluster pengawal keselamatan, Cheras.

“Kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur ada pertambahan 1 kes menjadikan jumlah keseluruhan 31.

“Kluster pengawal keselamatan Cheras ada pertambahan 1 kes menjadikan jumlah 25 kes,” katanya.

Noor Hisham berkata setakat ini KKM menyaring dan menguji 26,000 bukan warganegara dan daripada jumlah itu sebanyak 1,302 positif Covid-19.

Beliau juga berkata ahli Parlimen dan warga kerja di Parlimen yang telah disaring dan diuji Covid-19 seramai 750 orang.

Katanya keputusan setakat ini tiada yang positif.

“Jadi masih kita laksanakan, untuk tempoh sehari 2 lagi, dan mungkin akan maklumkan pada esok mengenai keputusan keseluruhan,” katanya.

Tinggalkan komen anda