“49 Shoot 5 Set Boleh? Hantar Balai Polis Muar” – Halus Cara Polis Ni ‘Ajar’ Penjual Mercun Online


shadow

Baru-baru ini tular di Facebook (FB) mengenai seorang penjual bunga api yang mempromosikan jualannya di salah satu grup di laman sosial tersebut.

Peniaga tersebut dilihat telah membuat posting berkongsi harga beberpa jenis mercun dan bunga api di laman FB terbabit.

Bagaimanapun postingnya telah mendapat perhatian pengguna FB yang menggunakan nama ‘Balai Polis Muar’ dengan paparan wajah Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip.

Membalas komen pada peniaga tersebut, pengguna FB ‘Balai Polis Muar’ hanya menjawab posting tersebut dengan mudah tetapi mempunyai maksud tersirat.

“49 shoot lima set boleh? Hantar Balai Polis Muar,” yang kemudiannya mendapat reaksi daripada pengguna FB lain.

Rata-rata mereka berpendapat, balai polis tersebut sengaja membuat tempahan untuk memberi ajaran secara halus kepada peniaga mercun dan bunga api itu.

Tambahan lagi menjual bunga api secara dalam talian adalah dilarang dan tidak dibenarkan sama sekali serta menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat serta peraturan ditetapkan.

Terdahulu, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, larangan bermain mercun sudah diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Februari 1995 dan larangan bermain bunga api pada 15 Mac 1995.

Menurutnya, larangan ini masih berkuatkuasa sehingga kini dan tertakluk mengikut Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) di mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati penjualan mercun dan bunga api dalam talian tular di media sosial.

“PDRM ingin mengingkatkan bahawa penjualan bunga api secara dalam talian adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat serta peraturan ditetapkan.

“Penjualan bunga api perlu mendapat kebenaran dari PDRM di mana syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan hendaklah dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, sekiranya kegiatan ini masih berterusan, PDRM akan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penjualan bunga api di premis dan bazar adalah tidak dibenarkan sehingga arahan kebenaran dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Tinggalkan komen anda