518 positif COVID-19 dalam 51 hari


shadow

Sarawak mencatat 518 kes positif baru COVID-19 sejak kes positif pertama dikesan pada 13 Mac lalu dengan pertambahan sembilan kes yang dilaporkan hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata tiga daripada sembilan kes itu dilaporkan di Bau manakala Kuching, Samarahan dan Serian masing-masing dua kes.

“Sarawak hari ini turut merekodkan 19 kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital dengan semuanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Bagi kes individu dalam siasatan (PUI) pula, sebanyak 172 kes direkodkan hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, seorang lagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching disahkan positif hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 57 orang.

“Seramai 22 daripada mereka adalah sebahagian daripada Kluster Persidangan Kuching manakala baki 35 orang membabitkan kluster kecil,” katanya.

Bagi penempatan rakyat Sarawak yang baru pulang dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan pula, seramai 494 orang lagi diletakkan di bawah pengawasan (PUS) baru dan mendaftar di hotel hari ini.

Tinggalkan komen anda