Belum ada keputusan bila kedai gunting boleh mula beroperasi


shadow

Belum ada tarikh yang jelas bila kedai gunting atau salun rambut akan kembali dibuka kerana hal itu sedang diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob, beliau dimaklumkan persatuan penggunting rambut sudah menghantar kertas cadangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) mereka kepada MKN dan KKM.

Katanya ada kemungkinan wakil persatuan itu akan dipanggil untuk berbincang lebih lanjut mengenai hal berkenaan terlebih dulu sebelum keputusan dibuat.

Menurut beliau ada SOP yang perlu diperketatkan kerana ramai masih bimbang terhadap risiko jangkitan Covid-19 kerana beberapa faktor seperti kesukaran melakukan penjarakan sosial.

“Setakat ini belum ada lagi ketetapan bila (kedai gunting akan dibuka). Tak tahu, lepas hari raya atau selepas 9 hari bulan; mungkin cepat, mungkin lambat – tertakluk kepada keputusan MKN dan KKM,” katanya.

Sambil berseloroh ahli parlimen Bera itu menambah: “Gunting sendirilah dulu.”

Sementara itu beliau juga berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada polis atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia jika mengesyaki data peribadi mereka – yang dicatatkan sebelum memasuki sesebuah premis – dikongsi peniaga kepada pihak ketiga.

Kata Ismail Sabri setiap orang dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Mana-mana premis yang mengambil data kita, kalau ia (kemudian) dikongsikan dengan pihak lain, ia adalah menyalahi undang-undang dan boleh dihukum,” katanya.

Sebelum ini ada aduan pengguna mengenai tindakan peniaga meminta maklumat seperti nombor kad pengenalan sebelum mereka dibenarkan memasuki premis tertentu.

Justeru Ismail Sabri berkata, pengguna hanya perlu menuliskan nama dan nombor telefon pada buku catatan yang disediakan. Namun maklumat itu mestilah tepat bagi memudahkan mereka dihubungi jika wujud keperluan membabitkan jangkitan Covid-19.

Tinggalkan komen anda