Covid-19: 40 kes baru, 31 babitkan bukan warganegara


shadow

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 40 kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi.

Katanya, daripada jumlah itu, 31 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada sebarang kes import.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,819 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,356 kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 112 kes.

“Kes kematian ke-112 (kes ke-6780) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit injap jantung, serta kemalangan pada awal tahun mengakibatkan beliau patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Mei jam 9.52 malam di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 70 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,351 kes atau 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tinggalkan komen anda