COVID-19: Komuniti kena utamakan penjarakan sosial ketika beriadah


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan pemantauan penjarakan sosial dalam kalangan mereka yang melakukan aktiviti riadah seperti joging di taman awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pemeriksaan komuniti juga boleh digerakkan bagi membantu memastikan penjarakan sosial orang ramai dipatuhi.

Beliau berkata, sememangnya kelonggaran untuk menjalankan aktiviti riadah dan senaman sudah diberikan, apa yang penting ketika ia dilakukan penjarakan sosial perlu ada.

“Kita akan bincang dengan MKN, PDRM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan pemantauan untuk penjarakan ini.

“Jika kita lihat syarat dasar keluar (exit policy) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (ia menekankan) pemerkasaan komuniti, iaitu tidak semestinya MKN, polis dan Jabatan Sukarelawan (RELA) perlu berada di kawasan itu.

“Masyarakat juga boleh pastikan penjarakan diamalkan. Bagaimanapun, kita berharap rakyat Malaysia sedar dan waspada pada kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang kita longgarkan termasuk untuk bersenam,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya jika kementeriannya mempunyai sebarang syor kepada pihak berkuasa termasuk MKN untuk memastikan orang awam mematuhi penjarakan sosial ketika mereka menjalankan aktiviti di taman awam.

Ia berikutan timbul keadaan taman awam sesak dengan mereka yang bersenam dan beriadah sehingga gagal mematuhi penjarakan sosial.

Tinggalkan komen anda