COVID-19 lonjak permintaan kargo Malaysia Airlines


shadow

Malaysia Airlines Bhd menerima lonjakan permintaan untuk operasi penerbangan kargonya sejak krisis pandemik COVID-19 melanda.

Pengurus Kanan Analisis Keselamatan Pesawat Malaysia Airlines, Kapten Jacob Kurien, berkata lebih 150 penerbangan penumpang-ke-kargo (P2C) direkodkan sejak Mac lalu, merangkumi pelbagai destinasi.

“Menerusi operasi perkhidmatan ini, hanya ruang kargo pada bahagian ‘perut’ (bawah) pesawat dipenuhkan,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia Airlines turut melakukan operasi penerbangan kargo yang ditempatkan di ruang kabin (CIC), iaitu pada 14 Mei lalu dengan membawa pelbagai muatan, termasuk bekalan peralatan perubatan dari Melbourne, Australia.

Menerusi operasi itu, katanya, ruang kabin pesawat, termasuk bawah tempat duduk dan bahagian penyimpanan di atas kerusi penumpang boleh diisi dengan barangan kargo, namun perlu mematuhi syarat saringan tertentu.

“Jenis barangan kargo yang akan ditempatkan dalam kabin pesawat disaring supaya tidak termasuk bahan mudah terbakar, manakala hanya tempat duduk di bahagian ekonomi terbabit dalam operasi penghantaran kargo seperti ini, bukan keseluruhan kabin pesawat.

“Bagaimanapun, tiada saringan untuk mengesan potensi penularan jangkitan COVID-19 menerusi perkhidmatan kargo kerana tiada bukti saintifik menunjukkan wabak terbabit berupaya disebar menerusi kaedah sedemikian.

“Setakat ini, kami meneroka potensi perkhidmatan kargo sepanjang waktu pandemik COVID-19 merangkumi beberapa destinasi penting, iaitu Jepun, China, Amerika Syarikat (AS) dan Australia,” katanya.

Kurien berkata, lonjakan perkhidmatan kargo sedikit sebanyak berfungsi sebagai penampan kesan krisis COVID-19, sekali gus menjana keuntungan Malaysia Airlines tatkala keseluruhan industri penerbangan terjejas teruk.

Selain itu, beliau berkata Malaysia Airlines sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menempatkan barangan kargo di atas kerusi penumpang.

Kelulusan itu, katanya berupaya memaksimumkan muatan pesawat, sekali gus meningkatkan keberkesanan kos operasi perkhidmatan kargo.

“Ia bagaimanapun terikat dengan syarat saringan keselamatan, iaitu tidak merangkumi muatan kargo yang mudah terbakar bagi menjamin keselamatan pesawat,” katanya.

Tinggalkan komen anda