Jangan beraya 20 orang di rumah kecil, kata KP Kesihatan


shadow

HAD maksimum 20 orang semasa kunjungan hari raya hanyalah angka relatif yang perlu disesuaikan dengan keadaan rumah dan hanya melibatkan anggota keluarga, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya ia merupakan jumlah anggota sesebuah keluarga dan perlu mengikut saiz rumah semasa sambutan tersebut.

“Kalau rumah kita kecil tidak perlu 20 orang,” katanya yang menjelaskan keadaan itu boleh dikira perhimpunan di ruang terhad yang melanggar garis panduan kesihatan.

Beliau menasihatkan, untuk mengatasi keadaan itu tuan rumah boleh mengatur kunjungan dalam masa berbeza untuk mengelak perhimpunan ramai, katanya.

Dr Noor Hisham juga menegaskan, keluarga yang mengunjungi saudara untuk menyambut hari raya perlu memastikan penjarakan sosial terutama melindungi golongan berisiko.

“Kita kena pastikan penjarakan sosial diamalkan apabila ada kalangan pelawat atau datang ke rumah pastikan ada penjarakan sosial dan pastikan lindungi warga emas dari jangkitan Covid-19.

“Pastikan tidak bersalam dan bercium-cium,” tegasnya.

Jelasnya golongan warga emas amat perlu dilindungi kerana lebih 50% dari 107 kematian Covid-19 setakat ini melibatkan waga emas berusia 60 tahun ke atas.

Jumlah kematian melibatkan warga emas dengan penyakit kronik pula melibatkan lebih 85% kes, katanya.

“Oleh itu kita perlu lindungi ibu bapa kita, lindungi atuk dan nenek kita. Mungkin kita sudah terdedah kepada virus dan mendedahkannya kepada mereka (semasa beraya),” katanya.

Kementerian juga hanya menggalakkan kunjungan ahli keluarga sahaja dan tidak menyarankan kunjungan bukan ahli keluarga, katanya.

Beliau ditanya demikian ekoran kebimbangan kes akan menular semula dalam kalangan perhimpunan ahli keluarga, seperti kes 16 orang yang positif Covid-19 di Dubai selepas berbuka puasa bersama.

Had maksimum 20 orang itu diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam yang membenarkan kunjungan hari raya di kalangan ahli keluarga dan jiran terdekat.

Aktiviti menziarahi keluarga semasa perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai hanya dihadkan dalam kalangan keluarga dan jiran dekat dalam negeri sama, kata Muhyiddin Yassin.

Perhimpunan yang dibenarkan itu pula tidak boleh melebihi 20 orang pada satu satu masa, katanya ketika mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),.

Ketiga-tiga perayaan penting tersebut akan berlangsung dalam tempoh PKPB yang dilanjutkan sehingga 9 Jun.

“Ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Ia hanya dibenarkan dilakukan dalam negeri sama kerana pergerakan merentas sempadan negeri tidak dibenarkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kata Muhyiddin.

Terdahulu Dr Noor Hisham mengumumkan sebanyak 207 kes dikesan muncul secara rawak dari kalangan komuniti setakat ini daripada keseluruhan 6,727 jumlah kes.

Ia menunjukkan virus masih ada dalam komuniti, selain 1,504 kes aktif yang sedang dirawat, katanya.

Beliau juga mengumumkan 70 kes baharu dikesan, 39 daripadanya di kluster yang masih aktif.

Tinggalkan komen anda