Kalau sudah mabuk patut guna ‘e-hailing’, kata menteri


shadow

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan bahawa beliau memandang serius terhadap kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

Kata Wee, pihak kementerian bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengkaji terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya pandang serius dan saya sudah minta JPJ lihat semula pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya dari Seksyen 41 hingga Seksyen 45,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkhidmatan pengangkutan awam di LRT Bukit Bintang, Kuala Lumpur pagi tadi.

Untuk rekod, Seksyen 41 adalah berkaitan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Seksyen 44 dan 45 pula antara lain berkenaan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.

Sementara itu, Wee turut menambah bahawa pemandu mabuk tidak mempunyai sebab untuk memandu dalam keadaan mabuk kerana boleh menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Malaysia tiada sebab seseorang itu perlu memandu dengan mabuk, kita sudah ada e-hailing.

“Kepada siapa yang nak minum kalau sudah mabuk patut guna e-hailing,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga menzahirkan rasa sedih dan takziah atas anggota polis yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk semalam.

Pagi semalam, seorang anggota polis Koperal Safwan Mohamad Ismail, maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan.

Dalam kejadian pukul 2.11 pagi itu, allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat dirempuh sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk, dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas di Kajang.

Tinggalkan komen anda