Kluster Pasar Borong KL kelima tertinggi


shadow

Kes jangkitan Covid-19 yang mempunyai kaitan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur merupakan yang kluster kelima tertinggi dari jumlah jangkitan yang dicatatkan di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat 180 kes yang mempunyai kaitan dengan kluster itu.

Beliau berkata, 100 kes dikesan berada di dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan 80 di luar kawasan tersebut.

Kes indeks untuk kluster ini adalah pesakit Kes 3,039 yang merupakan sebahagian daripada kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling, iaitu kluster dengan jangkitan paling tinggi.

Dari pasar borong, virus itu merebak ke empat pasar lain – Pasar Besar Seremban, Pasar Besar Bahau, Pasar Besar Jalan Othman dan Pasar Taman Megah – melibatkan 29 individu.

Noor Hisham berkata mengambil kira keadaan di pasar borong itu, sesiapa sahaja yang memasuki pasar berkenaan kini mesti menjalani ujian Covid-19 dan membuktikan bahawa mereka tidak dijangkiti.

“Kementerian Kesihatan juga meminta bantuan dari agensi lain untuk menentukan sama ada pasar lain yang mempunyai kaitan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur mempunyai jangkitan.

“Jabatan kesihatan daerah telah diberitahu untuk melakukan penilaian risiko terhadap peniaga yang mengunjungi pasar-pasar tersebut,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham menasihati rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri dengan “normal baru” untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan bersyarat, menjaga kebersihan dan mengamalkan penjarakan sosial.

Tinggalkan komen anda