Lelaki dikuarantin rosakkan peralatan hotel


shadow

Seorang lelaki yang sedang menjalani kuarantin COVID-19 di sebuah hotel di sini, mencetuskan suasana kelam-kabut apabila membakar botol cecair pembasmi kuman, di lobi hotel itu, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian jam 9.15 pagi itu mencetuskan kebakaran kecil, namun berjaya dipadamkan oleh kakitangan hotel.

Beliau berkata, lelaki berusia 23 tahun itu menjalani kuarantin di hotel berkenaan sejak 2 Mei lalu kerana baru balik dari luar Sarawak.

“Lelaki itu sudah ditahan dan sudah dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, sumber dari Pejabat Timbalan Ketua Menteri berkata, lelaki terbabit kini ditahan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana disyaki mengalami masalah mental.

Sebelum mencetuskan kekecohan di lobi hotel berkenaan, lelaki terbabit dipercayai merosakkan beberapa peralatan di bilik penginapan tempat dia dikuarantin.

Gambar keadaan bilik yang bersepah dan kerosakan peralatan hotel itu tular di laman sosial Facebook sejak semalam mencetuskan kemarahan ramai netizen.

Rata-rata netizen kesal dengan perbuatan lelaki itu yang tidak bersyukur dikuarantin di bilik hotel yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Tinggalkan komen anda