‘Penginapan sempit, amalan kebersihan punca jangkitan warga asing’


shadow

Kawasan penginapan pekerja yang sempit, tahap amalan kebersihan diri serta persekitaran yang kurang memuaskan, dikenal pasti sebagai punca penularan Covid-19 dalam kalangan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ruang penginapan yang sempit mengakibatkan tiada amalan jarakan sosial, antara satu sama lain.

Justeru itu katanya, majikan bertanggungjawab memberi pendidikan kepada pekerja, tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

“Majikan juga harus memastikan amalan pencegahan bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malahan penting diamalkan di tempat penginapan pekerja, supaya dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja dan sebaliknya.

“Pematuhan SOP di tempat kerja akan menjadi sia-sia, sekiranya majikan tidak proaktif dalam memastikan langkah pencegahan penularan Covid-19 turut diambil dan diikuti pekerja, di tempat penginapan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan majikan supaya mematuhi SOP di tempat penginapan seperti SOP di tempat kerja.

“Pastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut jarakan sekurang-kurangya satu hingga dua meter antara satu sama lain dan elakkan penyediaan makanan secara berkumpulan atau beramai-ramai.

“Elakkan makan beramai-ramai di ruang makan dan pastikan tempat menonton TV atau ruang rehat tidak sesak pada masa yang sama,” katanya.

Dalam pada itu sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak tiga kluster, yang melibatkan tapak pembinaan dengan 88 kes positif Covid-19.

Berikut adalah statistik bagi tiga kluster tersebut:

1. Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur, di mana daripada jumlah 488 sampel yang telah diambil:

– 31 kes positif Covid-19 dikesan, merangkumi 29 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia;

– 457 kes negatif Covid-19.

2. Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam, di mana daripada jumlah 91 sampel yang telah diambil:

– 13 kes positif Covid-19 dikesan yang terdiri daripada semua warga Bangladesh;

– 78 kes negatif Covid-19.

3. Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2, di mana daripada jumlah 350 sampel yang telah diambil:

– 44 kes positif Covid-19 dikesan, merangkumi 34 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia dan seorang warga Malaysia; (dikesan pada 25 Mei 2020)

– 306 kes negatif Covid-19.

 Bernama

Tinggalkan komen anda