Perbicaraan 1MDB Najib 18 Mei ini ditangguh lagi


shadow

Perbicaraan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dijadual pada 18 Mei ini, ditangguh sekali lagi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pasukan peguam Najib, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau perlu hadir ke sidang Dewan Rakyat pada hari tersebut.

Perkara itu disahkan peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini.

“Perbicaraan (1MBD) pada 18 Mei ditangguh untuk beri ruang kepada (Najib menghadiri) Parlimen,” katanya, sambil menambah permohonan itu dibuat oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, perbicaraan kes itu dilaporkan akan disambung pada 18 Mei selepas beberapa kali ditangguhkan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Kali terakhir kes itu dibicarakan adalah pada 13 Mac lalu, di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib, 67, dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini, yang dijadual berlangsung hanya sehari, menjadi perhatian susulan terdapat usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Anggota Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul tersebut tetapi belum pasti ia akan dibahaskan atau tidak, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan bahawa hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam sidang itu.

Bagaimanapun petang tadi, Ariff berkata menerima usul yang dibawa Anggota Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong agar sidang itu dilanjutkan kepada lapan hari.

Tinggalkan komen anda