PM arah kementerian rangka hukuman berat pada pemandu mabuk


shadow

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau memandang berat bilangan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.

Justeru, katanya, beliau sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

“Sebagai ketua kerajaan yang juga seorang bapa, saya memahami keresahan rakyat dan keluarga mangsa kemalangan yang mahu kerajaan bertindak tegas menangani perkara ini.

“Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 21 kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk dicatatkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, lapan mangsa telah kehilangan nyawa.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lepas,” katanya.

Kata Muhyiddin, beliau difahamkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

Menurut laman web Parlimen, sidang seterusnya dijadualkan bermula pada 13 Julai.

Pentadbiran sebelumnya, yang dianggotai Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri, telah memutuskan pada Jan untuk meminda Seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk meningkatkan hukuman atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Menurut ‘Laporan Status Global Mengenai Keselamatan Jalan Raya 2018’ oleh Organisasi Kesihatan Sedunia, terdapat 7,152 kematian di jalan raya yang dilaporkan di Malaysia pada 2016.

Daripada jumlah itu, kurang daripada 1 peratus daripada jumlah keseluruhan melibatkan pemandu mabuk.

Tinggalkan komen anda