‘Tak perlu visa, tunjuk tiket, dibenar terbang pulang’


shadow

Visa atau pas lawatan sosial warga asing yang telah tamat tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini tidak akan diambil tindakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka mempunyai dua pilihan iaitu apabila tiba di lapangan terbang hanya perlu menunjukkan tiket penerbangan untuk pulang ke negara asal.

“Seperti kita tahu bahawa PKP fasa satu dan dua, pejabat imigresen di seluruh negara ditutup dan ingin saya tegaskan mereka tidak akan diambil tindakan (jika visa atau pas lawatan sosial tamat tempoh).

“Kalau mereka mahu pulang ada dua pilihan. Pertama, apabila mereka sampai ke lapangan terbang, hanya perlu tunjuk tiket penerbangan pulang.

“Pilihan kedua, jika mereka ingin menetap lama di negara ini walaupun visa atau pas lawatan mereka telah tamat tempoh, mereka hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui Sistem Temujanji Online (STO) di laman web rasmi Jabatan Imigresen untuk memohon tarikh temu janji,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan STO adalah untuk sistem temu janji memohon tarikh dan bukan untuk memperbaharui visa atau pas lawatan sosial mereka.

Tinggalkan komen anda