Thomas: Persetujuan bebaskan Riza akan khianati PM dan PH


shadow

Bekas Peguam Negara Tommy Thomas menegaskan bahawa beliau tidak pernah bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada anak tiri Najib Razak, Riza Aziz.

Thomas berkata, ini kerana ia akan mengkhianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan yang diberi kepadanya dengan membenarkan perjanjian itu.

“Oleh kerana Idrus (peguam negara) berusaha memberi pertimbangan terhadap pandangan saya yang kononnya ‘bersetuju secara prinsipnya’ (yang kesemuannya adalah rekaan), izinkan saya menyatakan secara terbuka bahawa saya tidak akan pernah meluluskan perjanjian ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada The Edge, hari ini.

Thomas berkata demikian ketika mengulas kenyataan Peguam Negara Idrus Harun bahawa beliau memberi persetujuan untuk menerima tawaran anak Rosmah Mansor, Riza Aziz, selepas mendapat taklimat daripada timbalan pendakwa raya (DPP) yang mengendalikan kes berkenaan.

Menjelaskan isu itu, Idrus dalam satu kenyataan Ahad berkata, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, peguam negara terdahulu,Thomas, bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada Riza.

Menurut Idrus lagi semenjak pertuduhan difailkan di mahkamah, Riza mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan Peguam Negara melalui peguam cara penerbit filem itu, Tetuan Scivetti & Associates.

“Saya telah dinasihatkan bahawa mantan Peguam Negara Tommy Thomas, setelah meneliti surat representasi ini, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019, telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

“Saya telah diberitahu lebih lanjut bahawa Sri Ram, setelah berkonsultasi dengan ketua SPRM Latheefa Koya, menyarankan agar proposal yang dinyatakan dalam surat perwakilan diterima oleh SPRM.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu, Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM,” kata Idrus dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Thomas berkata tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan kredibilitnya sebagai pendakwa raya yang berkhidmat secara jujur dan profesional demi rakyat.

Thomas juga berkata kenyataan Idrus bahawa kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta) sengaja dibuat untuk mengalih perhatian.

Menurut Thomas, dalam situasi tersebut Riza sebenarnya tidak perlu mengembalikan sesen pun daripada duitnya sendiri kerana DOJ tetap akan mengembalikan wang tersebut kepada Malaysia.

“Oleh itu, Riza tidak perlu mendapat kredit kerana mengembalikan wang yang bukan miliknya. Oleh itu, ini adalah perjanjian manis untuk Riza tetapi mengerikan bagi Malaysia,” kata Thomas.

Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah AS$248 juta yang berkait dengan 1MDB di antara April 2011 dan November 2012.Sekiranya bersalah, beliau boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda hingga RM5 juta.

Riza merupakan pengerusi syarikat Red Granite Pictures yang menghasilkan filem The Wolf of Wall Street dan mendapat sentuhan pengarah terkenal, Martin Scorsese, serta dibintangi ramai pelakon kelas A Hollywood.

Tinggalkan komen anda