Afidavit Apandi akan diguna dalam permohonan gugurkan Sri Ram


shadow

AFIDAVIT Apandi Ali akan digunakan dalam dua permohonan semakan kehakiman bagi menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya, yang mana bekas peguam negara itu mendakwa terdapat cubaan untuk memujuknya bagi mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak sebelum pilihan raya umum pada 2018.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan afidavit Apandi digunakan dalam permohonan semakan kehakiman oleh Najib dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, yang mencabar kesahan pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Semakan kehakiman itu merupakan prosiding di mahkamah bagi mencabar keputusan kerajaan atau kementerian.

Hakim Mariana Yahya hari ni menetapkan 13 Julai untuk pendengaran kes berkenaan.

“Kami telah memberi notis untuk menggunakan afidavit (Apandi),” kata Shafee setelah bertemu di kamar dengan Mariana hari ini, sambil menambahkan bahawa afidavit itu disampaikan kepada pendakwa raya semalam.

“Mahkamah akan memberi masa untuk (pendakwa) dari AGC (Pejabat Peguam Negara) untuk mengambil arahan dan membalas.

Jawapan Sri Ram terhadap afidavit Apandi akan diajukan pada Isnin dan akan dimasukkan dalam kes itu, kata Shafee.

“Ini penting kerana Datuk Seri Sri Ram masih mendakwa. Sekiranya ada masalah dengan pelantikannya, maka semua kesnya dibatalkan kerana dia muncul sebagai pendakwa raya dalam 1MDB dan semua itu. Ia akan sia-sia.

“Saya tidak mahu buang masa untuk mulakan semula semuanya,” tambahnya.

Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad Najib, yang akan bersambung esok.

Sri Ram turut mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram RM9.5 juta Shafee, yang masih belum bermula.

Najib dan Shafee memfailkan semakan kehakiman itu secar berasingan pada Disember 2018 bagi mencabar keputusan peguam negara untuk melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka menamakan peguam negara/timbalan pendakwa raya, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden.

Mereka mahu mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram atas dasar surat pelantikannya tidak sah.

Mereka juga mahu memohon perisytiharan onflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram, dan perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Mahkamah Persekutuan pada Oktober menolak rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah tinggi yang memberikan Najib dan Shafee cuti untuk semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram.

Tinggalkan komen anda