‘Boleh ramai di meja makan asalkan ada jarak sosial’


shadow

Amalan penjarakan sosial perlu dikekalkan di setiap meja makan restoran, walaupun tiada had khusus ditetapkan bagi bilangan pelanggan susulan kelonggaran kepada pengusaha.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata penjarakan sosial perlu berlaku antara kerusi pelanggan yang berada di meja sama, bukannya dengan meja berhampiran.

“Kelonggaran had pelanggan bergantung selagi ada penjarakan sosial satu meter di meja terbabit.

“Kalau meja panjang dan boleh muatkan enam orang dengan penjarakan sosial, maka enam oranglah (dibenarkan duduk di meja terbabit),” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan berhubung tiada penetapan had untuk jumlah pelanggan dibenar duduk di meja makan restoran ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

Kelonggaran bagi jumlah pengunjung dibenarkan duduk di sesebuah meja adalah bergantung kepada saiz meja terbabit dengan mengamalkan penjarakan sosial antara setiap pelanggan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Islam Malaysia (PRIM), Datuk Kadhar Shah Abdul Razak, berkata pengusaha restoran bernaung di bawahnya belum mengguna pakai kelonggaran berkenaan.

“Kita masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berpandukan pengumuman terbaharu kerajaan, selain ada menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Kita masih mengekalkan jarak dua meter antara setiap meja. Bagaimanapun, agak kurang jelas sama ada jarak satu meter antara setiap kerusi perlu dikekalkan atau sebaliknya.

“Setiap susun atur bagi kedudukan baharu kerusi dan meja makan akan dibuat selepas mendapat penjelasan lanjut berhubung SOP baharu dan kita akur dengan setiap ketetapan kerajaan,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali, menjelaskan pihaknya sudah mula menjarakkan kedudukan meja di setiap premis berkenaan.

“Susunan meja disesuaikan dengan pengumuman membenarkan duduk 10 orang tetapi perlu ada jarak sosial satu meter antara meja dan perkembangan ini sangat positif kepada pengusaha.

“Bagaimanapun, kita belum menerima kenyataan rasmi daripada kerajaan, selain bergantung dengan apa dilaporkan oleh media. Kita akan beri kerjasama sebaik mungkin dan akur terhadap apa-apa saranan kerajaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda