Dr M: Anwar tiada majoriti, saya nak ‘tolong’ dia


shadow

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mahu menjadi perdana menteri buat kali ketiga, tetapi diminta berbuat demikian.

Katanya, Anwar Ibrahim tidak mempunyai sokongan cukup dan beliau mahu membantu presiden PKR itu.

“Terdapat pihak yang menentang keras jika dia dicalonkan (sebagai PM), mereka tidak akan sokong.

“Dan kita perlukan sokongan daripada parti kerajaan supaya mempunyai majoriti cukup. 

“Saya bimbang dia tak dapat majoriti cukup jika bergantung pada dia seorang.

“Saya hendak bantu dia,” kata Mahathir dalam wawancara dengan media Hong Kong, Asia Times, yang disiarkan hari ini.

Anwar Ibrahim 

Mahathir berkata demikian ketika ditanya kenapa beliau boleh mendapatkan sokongan majoriti dan tidak Anwar.

Mahathir dalam wawancara itu bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut bagaimana beliau akan membantu Anwar.

Pakatan Harapan (PH) cuba mendapatkan kembali tampuk pemerintahan tetapi masih tidak dapat menyelesaikan kebuntuan calon perdana menteri.

PKR telah menolak pencalonan Mahathir secara rasmi.

Mahathir pula berkata akan menamatkan kerjasama dengan PKR jika parti itu tetap dengan pendirian mereka.

Mahathir berkata beliau tidak sendiri tidak berminat untuk kembali berkuasa tetapi “ramai orang” mahukan beliau kembali.

“Saya tidak mahu kembali. Maksud saya, kembali buat kali ketiga ini agak keterlaluan,” katanya sambil ketawa.

“Bagaimanapun, rayuan orang ramai itu ada, mereka datang, mereka kata jika kamu setuju kami akan sokong. Kalau tidak, kami tak akan sokong,” katanya.

Difahamkan kem Mahathir dalam Bersatu, Warisan dan anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) yang berpotensi mengubah sokongan tidak berminat dengan pencalonan Anwar sebagai perdana menteri.

Tinggalkan komen anda