Ingkar PKPB: 175 individu berhibur di pusat hiburan


shadow

Gara-gara berhibur di pusat hiburan yang dilarang beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seramai 175 orang dikompaun kerana melanggar arahan itu yang dikuatkuasakan sejak 4 Mei lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan di tiga premis di Damansara, Sungai Way dan Sea Park di sini, baru-baru ini.

“Seramai 101 orang ditahan di Damansara, 43 orang di Sungai Way dan 31 orang lagi ditahan di Sea Park.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar PKPB mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

“Hasil siasatan mendapati hanya 10 peratus yang dikompaun itu adalah penduduk Petaling Jaya, selebihnya datang dari Kuala Lumpur dan daerah lain sekitar Lembah Klang.

“Kesemua premis terbabit juga dikenakan tindakan melanggar PKPB termasuk tindakan mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual arak tanpa lesen,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, polis menahan 18 remaja berusia antara 16 hingga 25 tahun kerana terbabit dalam pergaduhan di sebuah taman permainan Blok B, Flat Lembah Subang di sini, kelmarin.

“Kita merampas sebatang besi pengunci motosikal yang digunakan sebagai senjata dalam pergaduhan itu namun tiada suspek mengalami kecederaan serius.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” kata beliau.

Menurut Nik Ezanee, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan jika ada di antara suspek terbabit dengan kegiatan jenayah lain.

Tinggalkan komen anda