Jho Low ‘pengarah bayangan’ 1MDB – Peguam


shadow

Keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, membayangkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah ‘pengarah bayangan’ syarikat itu dan bukannya Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, ia jelas bertentangan dengan kes dikemukakan pihak pendakwaan selama ini bahawa Najib bertindak sebagai ‘pengarah bayangan’ kepada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Muhammad Shafee ketika menyoal balas saksi pendakwaan kesembilan itu, berkata keterangan menunjukkan saksi bertindak atas arahan Jho Low dan tidak memberikan penjelasan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Terdahulu, Shahrol Azral ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, menjelaskan tidak terbabit dalam proses membuat keputusan berkaitan transaksi pelaburan syarikat, sebaliknya menyerahkan kepada peguam 1MDB, Jasmine Loo dan Jho Low.

Shahrol Azral berkata, beliau bertindak atas arahan dan pelan tindakan diberi Jho Low kerana percaya arahan diterima datang daripada Najib sendiri.

Saksi itu percaya Jho Low bertindak atas arahan pemegang saham.

Ditanya sama ada beliau meminta penjelasan daripada Najib mengenai arahan Jho Low berkaitan hal ehwal perjalanan syarikat, saksi itu menjawab, ‘tidak’.

Menjawab soalan Muhammad Shafee berhubung penukaran saham 1MDB kepada nota jaminan Murabahah bagi usaha sama dengan PetroSaudi International, Shahrol Azral berkata, pihaknya tidak mempunyai masa memanggil Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi memaklumkan perkara itu.

Pada masa sama, katanya, Jho Low dan Jasmine tergesa-gesa melaksanakan penukaran nota jaminan itu.

Muhammad Shafee bagaimanapun mencadangkan, alasan utama ia dilaksanakan tergesa-gesa ialah kerana ia perlu dilakukan sebelum tahun kewangan berakhir bagi penstrukturan semula, jika tidak saksi perlu memberikan justifikasi mengenai nilai nota berkenaan.

Ditanya lanjut oleh peguam, siapakah individu di sebalik pelaksanaan penukaran nota jaminan itu, Shahrol Azral menjawab: “Jho Low.”

Saksi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa ia bukan perancangan Najib, sebaliknya tindakan Jho Low yang memperdayakan Lembaga Pengarah dengan saksi mengetahui perkara itu dan menjadi sebahagian daripada perancangan berkenaan.

Muhammad Shafee: Anda sekarang berpuas hati bahawa ini mekanisme untuk memperdayakan Lembaga Pengarah bagi mempercayai pelaburan mereka masih bagus?

Shahrol Azral: Di sebaliknya, ya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan bahawa jika seluruh Lembaga Pengarah 1MDB dapat diperdayakan, maka perkara yang sama mungkin berlaku kepada Najib. Bolehkah perdana menteri atau menteri kewangan berada dalam kedudukan yang lebih bijak daripada Lembaga Pengarah?

Shahrol Azral: Saya tidak dapat memberi komen kerana saya tidak tahu sama ada perdana menteri atau menteri kewangan mempunyai maklumat pada masa itu.

Tinggalkan komen anda