Kerajaan tidak teragak-agak laksana PKPD jika kes Covid-19 meningkat, kata Muhyiddin


shadow

 Putrajaya tidak akan teragak-agak melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan atau lokaliti terbabit sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, tanggungjawab mengamalkan kebiasaan baru dalam kehidupan terletak di bahu rakyat susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun depan.

“Tibalah masanya kerajaan memberi kelonggaran dengan syarat saudara-saudari sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baru dalam kehidupan.

“(Rakyat perlu) mematuhi semua SOP ditetapkan kerajaan. Tanggungjawab memastikan wabak Covid-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mememinta orang ramai menggunapakai aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan bagi membolehkan mereka melakukan penilaian kesihatan kendiri.

“Aplikasi ini membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.

“Apa yang penting ialah kita semua mesti bersedia untuk membudayakan kebiasaan baru dalam kehidupan kita. Ya, adakalanya kita rasa sedikit sukar untuk mengamalkannya, tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan,” katanya.

Tinggalkan komen anda