Kes 1MDB: Goldman Sachs dalam perbincangan elak mengaku salah


shadow

Syarikat pelaburan gergasi Goldman Sachs sedang berbincang dengan pihak pendakwaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengelak daripada mengaku bersalah atas peranannya dalam kes rasuah membabitkan 1MDB, menurut laporan The New York Times.

Syarikat itu juga meminta Timbalan Peguam Negara AS, Jeffrey Rosen mengkaji semula tuntutan pihak pendakwa persekutuan agar membayar denda lebih daripada AS$ 2 bilion (RM8.5 bilion), kata sumber kepada NYT.

Menurut laporan itu, permintaan itu dibuat beberapa minggu lalu dan ia di luar kebiasaan bagi siasatan syarikat berprofil tinggi yang biasanya akan selesai bila rundingan berakhir.

Goldman Sachs tidak pernah mengaku bersalah dalam siasatan yang dilakukan terhadapnya.

Kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak menubuhkan syarikat pelaburan 1MDB pada tahun 2009, dan Jabatan Keadilan AS menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion telah disalahgunakan oleh pegawai tertinggi syarikat itu serta sekutu mereka antara tahun 2009 dan 2014.

Goldman telah disiasat di sekurang-kurangnya 14 negara, termasuk AS, Malaysia, Singapura dan lain-lain, berhubung peranannya dalam pengunderaitan (underwriting) dan apa yang dilakukannya yang tidak diketahui sewaktu urus niaga.

Bank itu membantu mengumpulkan sebanyak AS$ 6.5 bilion untuk 1MDB yang dilanda skandal melalui penjualan surat jaminan dan bon.

Pada Nov 2018, Jabatan Kehakiman AS mengemukakan tuduhan jenayah terhadap dua bekas pegawai perbankan Goldman Sachs yang dikaitkan dengan skandal itu, Tim Leissner dan Roger Ng.

Menurut Jabatan Kehakiman AS, Goldman memperoleh AS$600 juta yuran untuk urusan kerjanya dengan 1MDB. Leissner, Ng dan lain-lain mendapat bonus besar berhubung dengan pendapatan tersebut.

Bank itu secara konsisten berusaha menjarakkan mereka daripada skandal itu, dengan mendakwa Leissner dan Ng telah menyembunyikan kegiatan jenayah daripada pihak pengurusan bank itu.

Pada bulan Januari, dilaporkan bahawa bank berkenaan telah memperuntukan kos undang-undang AS $ 1.1 bilion dengan sebagian besar jumlahnya diperuntukkan untuk penyelesaian 1MDB.

Leissner, yang mengaku bersalah pada bulan Ogos 2018 dan dijadualkan akan dijatuhkan hukuman pada bulan ini, namun baru-baru ditunda ke Januari 2021.

Pendakwa raya yang tidak mendedahkan secara terbuka syarat jaminan Leissner telah membuat permintaan itu dalam satu surat kepada hakim persekutuan.

Ng, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu pada Mei 2019, akan diadili di mahkamah persekutuan Brooklyn awal tahun depan.

Tinggalkan komen anda