Kesatuan pekerja hotel tolak dakwaan 30,000 hilang kerja


shadow

 Sebuah kesatuan mewakili pekerja hotel mempertikaikan dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang lebih 30,000 pekerja dalam sektor perhotelan hilang kerja disebabkan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung, Rusli Affandi berkata jumlah sebenar mungkin hanya satu pertiga daripadanya.

Semalam, Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor dipetik Bernama sebagai berkata 10,000 pekerja hotel diminta mengambil cuti tanpa gaji dan lebih 6,000 dipotong gaji.

Tetapi, Rusli memberitahu FMT: “Saya tidak tahu dari mana angka ini datang, tetapi ia tidak tepat. Ia sangat membimbangkan. Mengumumkan jumlah ini dan membiarkan rakyat fikir ini yang berlaku kepada hotel…ia mencetuskan panik.

“Saya rasa mungkin 10,000 sudah diberhentikan, dan walaupun begitu, angka ini terlalu tinggi.”

MTUC turut dipetik sebagai berkata, Covid-19 Helpdesknya dari 18 Mac hingga 27 Mei lalu menerima 186 aduan pembuangan kerja dalam sektor hotel.

Rusli berkata, jumlah itu jauh lebih rendah daripada 30,000 yang dikatakan diberhentikan.

Katanya, industri perhotelan mengambil kira-kira 110,000 pekerja di seluruh negara, tetapi terdapat kekurangan data berhubung berapa ramai hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Pandemik itu yang disusuli pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu menyebabkan tempahan bilik hotel berkurangan akibat sekatan pelancongan domestik dan antarabangsa, serta satu siri penutupan dan pemberhentian dalam industri perhotelan negara.

Rusli berkata, walaupun semua hotel terjejas akibat Covid-19, beliau tahu hanya 7 hotel di negara ini yang ditutup secara kekal akibat pandemik itu.

Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Shaharuddin M Saaid memberitahu FMT kira-kira 20 hotel di Kuala Lumpur sudah ditutup.

Rusli berkata, lebih banyak hotel gulung tikar jika benar 30,000 pekerja diberhentikan.

“Jika anda kata 30,000 sudah hilang pekerjaan mereka, ia bermakna kira-kira 100 hotel sudah ditutup.”

Tinggalkan komen anda