KKM tak buat ujian dari rumah ke rumah, kata Ismail Sabri


shadow

Pihak berkuasa kesihatan tidak menjalankan ujian Covid-19 dari rumah ke rumah kecuali kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tularnya gambar di media sosial mengenai dakwaan berlaku penipuan melibatkan individu yang dikatakan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan.

Ismail menambah bahawa Kementerian Kesihatan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

“Saya percaya kementerian sudah membuat laporan polis dan polis akan bertindak segera.

“Kementerian tidak menjalankan ujian swab dari rumah ke rumah kecuali di tempat-tempat yang diklasifikasikan di bawah kawasan PKPD,” katanya semasa taklimat media di Putrajaya hari ini.

Ismail yang juga menteri kanan mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan yang dijalankan oleh mereka yang ingin memanfaatkan ketakutan semasa wabak koronavirus.

Jelasnya, orang ramai harus menghubungi pihak berkuasa sekiranya ada interaksi atau insiden yang mencurigakan berlaku pada masa akan datang.

“Sila hubungi pihak berkuasa untuk semak betul tak apa yang mereka lakukan. Itu mungkin dibuat swab test, (tapi) lebih bahaya lagi mereka boleh merompak dan sebainya, sebab itu jangan percaya perkara seperti ini,” katanya.

Tinggalkan komen anda