Lelaki bengang bil elektrik melambung hampir 4 kali ganda


shadow

Bengang apabila bil elektrik di rumahnya melambung tinggi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), seorang penasihat pemasaran bebas membuat aduan mengenai perkara itu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di laman Twitter.

Sambil menanda akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Tenaga, pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Steven itu berkata adalah tidak munasabah bil elektrik di rumahnya melambung dari sekitar RM500 sebulan kepada RM1,898 pada bulan Jun.

Menurut Steven, beliau bekerja dari rumah yang dijadikan pejabat sejak bertahun-tahun sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada bulan Mac.

“Rutin harian saya sama selama 10 tahun, yang bermaksud saya tinggal sendirian dan bekerja dari rumah. Jadi, sama ada PKP atau tidak, saya masih di rumah dan tidak berubah bagi saya.

“Semalam saya menerima bil TNB bagi bulan Jun sebanyak RM1898.20.

“Macam mana ini boleh berlaku sedangkan saya membuat bayaran pada bulan-bulan ketika PKP dan rutin di rumah sama selama 10 tahun lalu kerana tidak ada bezanya bagi saya sama ada PKP atau bukan PKP, kerana saya bekerja dari rumah selama bertahun-tahun,” tulisnya di Twitter semalam.

Malaysiakini telah menghubungi Steven untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aduan beliau.

Menurutnya, beliau telah dihubungi oleh TNB sebanyak dua kali melalui media sosial untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka hanya memberitahu bagaimana caj itu dikira.

“Pada pandangan saya, mereka mengatakan seperti itu. Anda harus membayarnya. Jika tidak, elektrik akan dipotong.

Dua kakitangan TNB juga datang ke apartmennya hari ini di mana mereka memeriksa meter elektrik di rumahnya sebelum mengatakan ia berada dalam keadaan baik.

Steven berkata, beliau sekali lagi diberi penjelasan bagaimana bil itu dikira dan disaran mendapatkan kontraktor bagi memeriksa peralatan elektrik di dalam rumah.

“Ini tetap menjadi teka-teki bagaimana bil bulan Jun naik hampir 4 kali ganda menjadi hampir RM1.9k,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi TNB bagi mendapatkan respons berhubung aduan Steven.

Seorang jurucakap TNB berkata mereka akan mengeluarkan maklum balas setelah mendapat semua fakta dari jabatan berkenaan.

Isu kenaikan mendadak caj elektrik oleh TNB menimbulkan kemarahan di kalangan orang ramai, dan ramai daripada mereka menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun, TNB menafikan mengenakan caj tambahan kepada pengguna bagi bil yang dikira semasa PKP selepas semua aktiviti membaca meter dihentikan bermula 20 Mac sehingga 14 Mei akibat PKP.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah sebelum ini berkata TNB telah menjelaskan mengenai kaedah mengira bil elektrik semasa PKP dan mekanisme itu juga telah disemak serta dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga yang hadir dalam pertemuan tersebut.

Pada 15 Jun, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dilapor memanggil TNB bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenaikan mendadak bil elektrik.

Tinggalkan komen anda