Mahkamah benarkan pindaan kes Najib ubah laporan audit 1MDB


shadow

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membenarkan permohonan pendakwaan bagi meminda tuduhan berkaitan tuduhan ke atas Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa mengganggu laporan audit firma berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan pindaan kepada tuduhan berkenaan yang dibuat oleh ketua pendakwaaan, Gopal Sri Ram tidak menyebabkan prejudis kepada tertuduh.

Hakim mengambil maklum bahawa pindaan itu dikemukakan hanya pada hari kelapan selepas perbicaraan dimulakan pada peringkat pendakwaaan.

Katanya, hanya tujuh saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dan mereka belum diperiksa bals sepenuhnya oleh pasukan peguam pembelaan Najib.

“Saya yakin pihak pembelaan mempunyai waktu dan peluang mencukupi untuk menyiapkan kes mereka berdasarkan pindaan terhadap tuduhan.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikannya,” katanya.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan tuduhan yang dipinda itu kepada Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya dan Arul Kanda yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

Najib, 67, dan Arul Kanda, 43, bagaimanapun, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.

Tinggalkan komen anda