Mahkamah tolak rayuan Zahid gabung 12 pertuduhan pecah amanah


shadow

BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam rayuannya terhadap keputusan menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan berhubung dana milik Yayasan Akalbudi.

Ini susulan keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan Zahid terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah, pada 8 November tahun lepas.

Hakim Yaacob Md Sam yang mengetuai panel itu berkata, panel hakim mendapati tiada kesilapan daripada pihak Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Zahid, untuk membolehkan rayuan dikemukakan.

Dua lagi hakim yang  bersidang dalam panel itu ialah P. Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang hadir di mahkamah, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan CBT dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan berhubung dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati 12 pertuduhan sedia ada terhadap Zahid adalah jelas dan tertuduh boleh memahaminya untuk membuat persediaan bagi pembelaan, dengan itu tidak menimbulkan sebarang isu prejudis.

Selain itu, beliau memutuskan Seksyen 153 (2) Kanun Prosedur Jenayah tidak menjadikan mandatori untuk pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan berkenaan.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember, 2018, serta pada 20 Februari tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sebanyak 47 pertuduhan, 12 daripadanya bagi CBT, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah ditetapkan bersambung pada 3 Julai.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid, berhujah permohonan untuk menggabungkan 12 pertuduhan kepada hanya tiga pertuduhan, bertujuan untuk mencegah ketidakadilan dan prejudis terhadap anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi bagaimanapun dalam hujahannya berkata keadilan bukan berdasarkan persepsi tetapi mesti berdasarkan undang-undang.

“Tiada apa yang salah dengan pertuduhan itu. Hakim Mahkamah Tinggi juga berkata kes ini bukan diadili oleh juri atau oleh media tetapi diadili oleh hakim. Setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh perlu dibuktikan di mahkamah, jadi ia tidak akan menimbulkan prejudis terhadap beliau,” katanya.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Hisyam memberitahu media beliau akan merundingi anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan. – Bernama

Tinggalkan komen anda