Mampukah Malaysia capai 28 hari sifar kes COVID-19?


shadow

28 hari, tempoh sifar kes COVID-19 yang diperlukan negara sebelum boleh diisytiharkan bebas pandemik berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kenyataan daripada ‘Jeneral Perang’ COVID-19 itu, semalam nyata mencetuskan persoalan, mampukah angka dalam tempoh itu dicapai?

Apatah lagi, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan semakin banyak kelonggaran diberikan, malah aktiviti rentas negeri juga dibenarkan.

Semua pengangkutan awam, bas ekspres, pesawat penerbangan, perkhidmatan e-hailing, teksi dan kenderaan persendirian dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu semalam turut menyatakan, perkhidmatan e-hailing, teksi, dan bas ekspres boleh beroperasi tanpa had masa.

Bukan itu sahaja, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka secara berperingkat, bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama bermula, hari ini.

Tiada lagi polis mahupun anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menahan kenderaan kita, jengah kediaman yang ‘meriah’ waktu raya, mengenakan kompaun sekiranya keluar rumah, malah mengarah kita berpatah balik kerana cuba merentas negeri.

Namun, kompaun tetap dikeluarkan sekiranya SOP yang ditentukan oleh kerajaan tidak dipatuhi.

Setelah hampir empat bulan mereka menjaga kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kini tugas barisan hadapan bertukar tangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Berkali-kali kerajaan mengingatkan kita untuk patuh kepada SOP.

Aplikasi seperti MySejahtera, MyTrace bagi membantu membuat pengesanan kontak turut diwujudkan, dan pada masa sama menuntut rakyat untuk bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam memberikan maklumat mereka.

Kawalan kendiri masyarakat untuk terus mematuhi SOP dalam kebiasaan baharu inilah elemen yang paling penting dalam mengelakkan lonjakan kes, sekali gus menentukan sama ada PKPP berjaya menjadikan negara diisytihar bebas pandemik COVID-19. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda