MCA sokong, MIC akan bincang, UMNO ‘belum pasti’


shadow

MCA tiada masalah untuk menyatakan sokongan usul undi percaya ke atas kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sama seperti dilakukan PAS.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Si Woon, berkata namun begitu pihaknya perlu mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai pendekatan ‘en bloc’ untuk mengeluarkan kenyataan rasmi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sekarang.

“Sudah tentu keputusan selepas kita berbincang dengan BN sebagai ‘en bloc’. Walaupun belum dipanggil untuk bincang tetapi kita lihat sebagai sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri…memang kita sokong.

“Kita lihat Tan Sri (Muhyiddin Yassin) lakukan kerja terbaik dalam tiga bulan setelah berjaya bawa kita memulihkan pandemik COVID-19. Maksudnya beliau buat kerja dengan baik,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Naib Presiden MIC, Datuk C Sivaraajh, berkata kemungkinan perkara membabitkan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan berlangsung dalam sesi pemukiman (retreat) di Pulau Langkawi.

Katanya, sesi itu akan diadakan pada 10 hingga 12 Julai ini, beberapa hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang iaitu pada 13 Julai.

“Kita belum bincang lagi tetapi 10 hingga 12 Julai ada pemukiman kami (MIC) di Pulau Langkawi. Saya percayai akan dibincangkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau enggan mengulas lanjut perkara itu tetapi akan berbincang dengan rakan lain mengenai pendirian parti Melayu terbesar itu mengenai tindakan PAS akan mengemukakan usul undi percaya ke atas kepemimpinan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, malam tadi dalam satu kenyataan berkata, parti itu akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Beliau berkata, PAS yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan, malah sanjungan dari rakyat pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya sambil memaklumkan PAS yakin usul itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

Tinggalkan komen anda