Muhyiddin yang mahu Bersatu keluar Pakatan, kata Dr Mahathir


shadow

MUHYIDDIN Yassin yang mahu Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad, yang hari ini mendedahkan presiden parti itu datang “berkali-kali” berjumpa dengannya menyuarakan cadangan itu.

Kata Dr Mahathir, Muhyiddin datang berjumpa dengannya seorang diri untuk memintanya bersetuju dengan cadangan Bersatu keluar daripada PH.

“Saya tidaklah tolak dia sama sekali cuma saya kata saya akan fikir berkenaan perkara ini. 

“Tetapi saya tidak bersetuju untuk keluar kerana pada masa itu saya berpendapat bahawa saya daripada parti PH yang menang dengan perjuangan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib (Razak),” katanya dalam satu kenyataan melalui video yang disebarkan melalui Facebook dan YouTube.

Jelas Dr Mahathir, adalah pelik untuk Bersatu keluar daripada PH sedangkan parti itu bersama-sama dalam gabungan itu menjatuhkan pentabdiran Najib dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Jadi itulah keputusan saya,” katanya.

“Bukan saya pernah mengatakan bahawa saya akan keluar dari PH. Bahkan cadangan ini mengejutkan saya kerana PH adalah parti yang disertai oleh Bersatu untuk menjatuhkan Najib.

“Tak ada sebab kenapa saya akan tolak PH walaupun saya dengar cakap-cakap bahawa PH ini dikuasai oleh DAP,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, tidak mungkin DAP menguasai PH kerana sebagai perdana menteri pada masa itu beliau tidak mungkin bersetuju dengan dengan apa juga cadangan yang tidak memberi pertimbangan kepada semua pihak, khususnya orang Melayu.

Minggu lalu, setiausaha agung Bersatu dari kem Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir sebenarnya yang mahu Bersatu keluar daripada PH dalam usaha besar untuk mengendurkan keyakinan rakyat terhadap DAP dan pada masa sama, mengukuhkan kepimpinan Melayu.

Kata Hamzah, beliau hanya melaksanakan arahan dan kehendak Dr Mahathir.

Kenyataan Hamzah itu disokong oleh bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Muhammad Zahid Mat Arip yang mengesahkan pendedahan Hamzah. 

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan hari ini untuk mengulas gambar yang tular di media sosial mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah, serta Muhyiddin dan Mohamed Azmin Ali (ketika itu timbalan presiden PKR).

Pertemuan itu berlangsung pada 23 Februari, yang memang sudah ditetapkan dalam jadual hariannya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada pagi itu, kata Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir, selepas pertemuan itu, mereka semua sepatutnya pergi ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, untuk menyembah maklum mengenai pembentukan sebuah gabungan baharu.

Jelas bekas perdana menteri, beliau tidak mengikut rombongan ke Istana Negara itu kerana mahu memikir dengan lebih lanjut keputusan Bersatu keluar PH yang dibincangkan dalam mesyuarat pada hari itu.

Mesyuarat MPT Bersatu pada 23 Februari itulah yang menjadi titik mula perpecahan dalam parti yang kini terbelah antara kumpulan yang menyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin. 

Tinggalkan komen anda