Najib mohon dibebaskan, dakwa tuduhan tidak berasas


shadow

 Datuk Seri Najib Razak menimbang untuk memohon dibebaskan daripada tuduhan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya berhasrat mengemukakan permohonan itu berdasarkan keterangan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pemeriksaan balas itu, laporan 1MDB masih lagi dalam peringkat draf dan belum dimuktamadkan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, tuduhan ke atas anak guamnya menyatakan kesalahan dilakukan ‘sebelum’ laporan itu dibentangkan kepada PAC, maka anak guamnya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang membolehkan beliau didakwa.

“Melihat keseluruhan kes pendakwaan bahawa anak guam saya didakwa melakukan kesalahan sebelum laporan 1MDB dimuktamadkan, ia bukan satu kesalahan kerana pada peringkat itu pihak yang mengaudit dan diaudit boleh berbincang bagi mencapai persetujuan dan ia tidak memakan masa sejam atau sehari.

“Oleh itu, asas pendakwaan untuk meminda tuduhan membabitkan perkataan ‘sebelum’ yang dipinda kepada perkataan ‘selepas’ Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan, perkara itu perlu ditentukan mahkamah terlebih dahulu.

“Jika tidak, ia adalah tidak adil kepada anak guam saya,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya menimbangkan untuk mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah dengan alasan tuduhan yang tidak berasas.

Menurut peguam itu, pihaknya membantah permohonan pendakwaan untuk meminda tuduhan terhadap Najib kerana ia boleh menyebabkan implikasi serius terhadap kes pembelaan.

Beliau berkata, dengan cadangan pindaan kepada tuduhan berkenaan, ia merubah kedudukan pihak pendakwaan dengan drastik.

Katanya, inti pati kepada pemeriksaan balas terhadap saksi ialah tiada apa yang salah dengan permintaan untuk meminda laporan audit yang belum dimuktamadkan.

Menurut peguam itu, pada awal perbicaraan, pendakwaan meminda tuduhan terhadap Najib dan Arul Kanda dengan mendakwa Najib menyalahgunakan kedudukan dan menyebabkan pindaan kepada Laporan Pengauditan 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, sebelum ia dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC.

“Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada tahun 2018, tuduhan yang dikenakan ialah anak guam saya menyebabkan pindaan kepada laporan itu yang sedang disediakan pada Februari 2016 sebelum dimuktamadkan.

“Sekarang pihak pendakwaan mahu menyatakan bahawa laporan itu sudah dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata bukti yang dikemukakan setakat ini adalah asas kepada tuduhan terhadap tertuduh.

Beliau berkata, semua pihak perlu fokus kepada kesalahan yang sangat jelas berdasarkan kepada keterangan Ambrin; Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad dan bekas Pengarah Audit JAN, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Katanya, pihaknya merasakan bahawa tiada perubahan besar dengan pindaan terhadap tuduhan berkenaan.

“Ia sudah jelas melalui keterangan ketiga-tiga individu ini bahawa laporan itu bukan draf,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon supaya tuduhan pindaan dibacakan terhadap Najib, sebelum Muhammad Shafee mengemukakan bantahan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan pada 24 Jun ini bagi mendengar hujahan untuk meminda tuduhan ke atas Najib dan Arul Kanda.

Tinggalkan komen anda