Nufam kecam Kementerian Pengangkutan benarkan 100% operasi penerbangan


shadow

KESATUAN Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam) mengecam Kementerian Pengangkutan kerana mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk penjarakan sosial dan membenarkan syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan dengan kapasiti penuh.

Terkejut dengan arahan itu, Nufam dalam kenyataannya berkata sepatutnya hanya 66% operasi penerbangan dijalankan dengan mematuhi penjarakan sosial.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan juruterbang serta krew kabin mengecam arahan terbaru yang diberikan oleh kementerian. Mereka bahkan tidak berbincang dengan pihak-pihak berkenaan namun terus mengeluarkan arahan yang boleh membahayakan kru dan juruterbang,” kata sekretariat kesatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Persoalannya kini, adakah krew kabin dapat menguruskan SOP Covid-19 di atas kapal terbang dengan kapasiti penumpang sebanyak 100%? SOP penerbangan sepatutnya untuk separuh beban, bukan berdasarkan beban penuh. Akan ada pekerjaan tambahan untuk kru kabin,” tambahnya.

Pada 7 Jun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk membenarkan perjalanan rentas negeri bermula 10 Jun.

Sejak itu sektor penerbangan mula beroperasi untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan di negara ini.

Tinggalkan komen anda