Orang berak tepi jalan tak mengaku, kata Warisan pada Bung


shadow

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Yusof Yacob hari ini membidas Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang sebelum ini menempelak parti itu berhubung dakwaan melobi untuk mengajak Adun Warisan lompat parti.

Katanya, kenyataan yang dibuat Bung adalah “berputar-putar dan bercampur aduk”, sedangkan, menurutnya, Adun Warisan lebih tahu keadaan sebenar.

“Ini ibarat orang berak tepi jalan, mana dia mengaku. Dia cuba tetapi tidak kena layan dan gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Bung hanya dapat memujuk dua Adun, itu pun kerana diugut serta atas kepentingan peribadi untuk mendapatkan projek.

“Adun Warisan tahu kerana mereka yang telah diburu, dicari, dipujuk dan dijanjikan bermacam-macam oleh orang-orang ‘suruhan’ tertentu. Tetapi ini tidak dilayan oleh Adun-Adun Warisan.

“Kerana mereka tahu keadaan semasa. Mereka lebih tumpukan perhatian kepada tugas dan membela rakyat yang sudah lama susah akibat kepimpinan dulu,” tambahnya.

Bung sebelum ini ada menempelak Warisan kerana menuduh ada usaha melobi wakil rakyatnya untuk keluar parti, dengan menyifatkan parti itu “talk rubbish” (cakap mengarut) – tanpa menafikan dakwaan berkenaan.

Dakwa Bung, wakil rakyat Warisan yang sebenarnya sudah bosan dengan parti itu yang menurutnya tiada hala tuju.

Malah, kata ahli parlimen Kinabatangan itu, Warisan terpaksa memberi jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi “mengawal” wakil rakyatnya supaya tidak lompat parti.

“Ini bukan pasal kita beli bukan pasal kita panggil, tetapi mereka sudah bosan sama Warisan sebab tiada berhala tuju, kawasan tidak membangun, rakyat tidak dapat dibangunkan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Membidas lanjut, kata Yusof, Bung adalah orang yang “talk rubbish” memandangkan parti Warisan semakin kukuh.

Sedangkan kata Yusof, Umno Sabahlah yang tiada hala tuju dan sudah tidak relevan di negeri itu, lebih-lebih lagi setelah Bung menjadi pengerusinya.

“Terbukti rakyat sudah bosan dengan cara kepimpinan gangster Bung. Rakyat menilai semua ini.

“Bung bukan mahu membela rakyat tapi lebih kepada ‘meroyan’ dan menyalahkan orang lain bila melihat kejayaan kerajaan Warisan yang semakin hari semakin kuat dan bertapak dihati rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mendakwa bekas menteri pelancongan, Mohamaddin Ketapi dipujuk sehingga tiga kali oleh Anifah Aman supaya meninggalkan Warisan.

Meskipun sebelum ini pernah menafikan cuba membeli wakil rakyat Warisan, Bung pada 23 Jun lalu, mengaku ada berhubung dan bertemu beberapa Adun serta ahli parlimen setiap hari bagi memujuk mereka meninggalkan parti, dan mendakwa ada “respons positif” selepas dia membangkitkan kepada mereka soal kelemahan Warisan.

“Saya tak mahu kata berjaya atau tidak. Saya tak boleh beri bilangan (wakil rakyat yang dihubungi). Tetapi mereka positif, ada yang minta diberi masa untuk memikirkannya,” katanya.

Dia juga mengaku ada berhubung dengan Adun Kuala Penyu Limus Jury dan Adun Sugut James Ratib, yang keluar Upko 15 Jun lalu, namun hanya memberikan jawapan kabur- “mungkin”- apabila ditanya sama ada dia memainkan peranan sehingga dua Adun itu keluar parti atau tidak.

DUN Sabah memiliki 60 wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya dan lima yang dilantik kerajaan negeri. Kerajaan menguasai 45 daripada 65 kerusi DUN negeri itu.

Majoriti mudah memerlukan 33 Adun, tanpa mengira Adun lantikan atau yang menang pilihan raya.

Blok kerajaan memiliki 41 Adun yang diundi, iaitu Warisan (31), DAP (6), Upko (2) dan PKR (2). Ia juga memiliki empat adun lantikan – dua daripada Warisan, dan masing-masing seorang daripada Upko dan PKR.

Pembangkang pula dibarisi 19 Adun diundi dan seorang yang dilantik, merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Umno (1) serta dua Adun bebas yang keluar Upko.

Seorang Adun lantikan pada asalnya daripada PKR tetapi telah keluar parti itu dan kini menjadi wakil rakyat mesra pembangkang.

Tinggalkan komen anda