PAC lumpuh, tak lagi dapat teliti kerajaan, kata naib pengerusi


shadow

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Wong Kah Woh mendakwa badan itu telah “lumpuh” dan tidak boleh meneliti kerajaan.

PAC adalah sebuah jawatankuasa parlimen yang berkuasa untuk meneliti perbelanjaan kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ahli parlimen Ipoh Timur itu berkata kali terakhir PAC bermesyuarat adalah pada 4 Mac dan tidak dapat dilanjutkan kerana beberapa ahli jawatankuasa kini dilantik memegang jawatan eksekutif.

Pengerusi PAC Noraini Ahmad (Umno-Parit Sulong) telah dilantik sebagai menteri pendidikan tinggi sementara ahli jawatankuasa Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) adalah menteri undang-undang.

Tiga ahli jawatankuasa lain – Muslimin Yahaya (Bersatu-Sungai Besar), Ismail Mohamed Said (Umno-Kuala Krau) dan Ahmad Hamzah (Umno-Jasin) – adalah timbalan menteri.

Wong berkata Dewan Rakyat seharusnya memilih Jawatankuasa Pemilihan baru – yang akan menentukan komposisi pelbagai jawatankuasa terpilih parlimen – semasa persidangan Mei lalu.

Bagaimanapun, sidang berlangsung hanya setengah hari dan oleh itu tidak ada PAC baru yang dapat dibentuk.

Wong berkata bahawa PAC mempunyai empat laporan penting yang belum selesai untuk memastikan kewangan kerajaan dapat dikendalikan.

“Malangnya, kami tidak dapat melakukannya sekarang,” katanya.

“Pentadbiran Muhyiddin telah mematikan semangat demokrasi berparlimen sejak bulan Mac … Tindakan dan keputusan kerajaan tidak lagi akan diawasi oleh badan perundangan.

“Ini adalah langkah yang jauh terkebelakang untuk negara,” katanya.

Tinggalkan komen anda