Pakatan ‘satu pasukan’ bersama Dr Mahathir, Warisan, kata Anwar


shadow

PAKATAN Harapan (PH) akan bersama sebagai “satu pasukan” dengan Bersatu di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mendapatkan semula mandat rakyat, kata Presiden PKR  Anwar Ibrahim.

Gabungan itu yang dirujuk oleh media sebagai PH Plus kini mempunyai 107 kerusi di Dewan Rakyat, katanya, sehari selepas beliau mempengerusi mesyuarat tiga parti itu semalam.

“Sebab itu kita Pakatan Harapan berganding bahu seluruh kekuatan. Semalam dalam mesyuarat yang saya pengerusikan, antara PH… PKR, DAP, Amanah, bersama Bersatu di bawah Dr Mahathir dan Warisan dipimpin Shafie Apdal, kita capai satu persetujuan.

“Apa pun strategi harus bersama, pembangkang harus teguh dengan pendirian mereka,” kata Anwar, dalam sesi secara langsung di laman Facebook hari ini.

Kenyataan Anwar hari ini adalah bayangan terdekat butir perbincangan mesyuarat semalam setelah semua pemimpin terlibat enggan memberi sebarang ulasan selepas mesyuarat berakhir semalam.

Mesyuarat semalam berlangsung genap 100 hari pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Putrajaya melalui percaturan politik agih kerusi. Mesyuarat berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

“Sekarang 107 (ahli Parlimen) dalam kumpulan ini dan kita akan mara ke depan dalam satu pasukan dan pastikan mandat rakyat dihormati dan kecelaruan, kebobrokan dan rasuah itu dihentikan,” kata Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson.

Selepas selesai mesyuarat semalam, kenyataan ringkas dikeluarkan pimpinan parti menyebut keputusan mesyuarat akan dimuktamadkan dalam seminggu.

Kenyataan dikeluarkan atas nama pemimpin yang mewakili parti komponen dalam PH, serta Bersatu dan Warisan.

Presiden PKR  Anwar Ibrahim gabungan PH dengan Bersatu di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Warisan dirujuk oleh media sebagai PH Plus kini mempunyai 107 kerusi di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.
Presiden PKR Anwar Ibrahim gabungan PH dengan Bersatu di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Warisan dirujuk oleh media sebagai PH Plus kini mempunyai 107 kerusi di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

PKR diwakili Anwar sementara Amanah oleh Presidennya Mohamad Sabu dan DAP oleh Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

Dr Mahathir mewakili Bersatu, walaupun parti itu melalui kem Presidennya Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberhentian keahliannya daripada parti, bersama empat ahli Parlimen lain yang tidak menyokong PN.

Mesyuarat turut disertai antarannya setiausaha agung Bersatu dari kem Dr Mahathir, Marzuki Yahya, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin, dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Mesyuarat petang semalam dipercayai pertemuan pertama secara bersemuka antara Dr Mahathir dan Anwar sejak PH tersingkir di Putrajaya pada hujung Februari lalu.

Mesyuarat lebih tiga jam itu jadi perhatian selepas pertemuan berasingan minggu lalu antara pemimpin PH bersama Dr Mahathir dan Anwar, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Mesyuarat itu berlangsung ketika suhu politik hangat dengan desas-desus PH sedang mengumpulkan sokongan untuk menafikan majoriti sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tinggalkan komen anda