Pengurus syarikat didakwa rakam gambar bogel rakan serumah


shadow

Seorang pengurus syarikat didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merakam gambar bogel rakan serumahnya ketika mandi dan memiliki gambar berunsur lucah di dalam telefon bimbit pada tahun lepas.

Ong Beng Soon, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Mohamed Fared Abdul Latif.

Ong didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 23 tahun dengan cara merakam gambar mangsa berbogel ketika mandi dan mengganggu kesantunannya di sebuah rumah di Taman OUG Kuala Lumpur pada jam 1 petang, 15 Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memiliki gambar berunsur lucah di dalam telefon bimbit miliknya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam Cheow Wee merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung ibunya yang berusia 71 tahun dan kurang sihat.

Mahkamah membenarkan Ong diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes.

– Bernama

Tinggalkan komen anda