Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada 27 September


shadow

 Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam memutuskan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) akan berlangsung pada 27 September ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata mesyuarat turut menetapkan penganjuran PAT bagi sayap pemuda dan wanita berlangsung serentak pada 26 September.

“Mesyuarat MPT BERSATU pada 29 Jun menetapkan takwim baharu kepada urusan persidangan Cawangan dan Bahagian serta Perhimpunan Agung Tahunan yang ditangguhkan selaras dengan notis larangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akibat penularan wabak COVID-19.

“Sehubungan dengan itu, Perhimpunan Agung Tahunan akan berlangsung pada 27 September, manakala Perhimpunan Agung Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Srikandi pula pada 26 September, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, mesyuarat MPT turut menetapkan penganjuran persidangan Cawangan BERSATU yang ditangguhkan, disambung semula bermula 10 hingga 26 Julai.

Bagi peringkat bahagian, tarikh baharu persidangan adalah pada 22 Ogos. Selain itu, persidangan ARMADA Bahagian pula akan berlangsung pada 15 Ogos dan persidangan Srikandi pada 26 September.

“Semoga persidangan dan perhimpunan yang dijadualkan, berlangsung dengan lancar serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

Tinggalkan komen anda