Rakyat Malaysia saling berhubung hadapi wabak Covid-19


shadow

Meskipun perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan sejak sebulan lalu, kehidupan rakyat terus terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Kanak-kanak terperuk di rumah dan tidak dapat ke sekolah, manakala perangkaan pada suku pertama 2020 menunjukkan ribuan orang hilang pekerjaan dalam tempoh PKP.

Dalam kesuraman ini, sebahagian rakyat cuba bertahan dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kejiranan dan inovasi di peringkat akar umbi.

Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan pertandingan fotografi bagi mengajak rakyat berkongsi pengalaman mereka berhubung dengan masyarakat sekeliling.

Penganjur mahu tahu, bagaimana cara rakyat bertahan semasa diancam Covid-19. Misalnya ada yang menyertai persatuan penduduk, ada yang memberikan sokongan kepada perusahaan setempat menerusi bazar dalam talian, dan ada yang bertukar-tukar makanan dengan jiran.

“Penularan Covid-19 bukan semata-mata krisis kesihatan, (tetapi juga) krisis sosial dan ekonomi,” kata wakil residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee.

“Dan paling penting, ia adalah krisis kemanusiaan yang boleh meninggalkan parut yang dalam,” katanya.

Kurangkan potensi dijangkiti

Niloy menggesa keluarga dan masyarakat untuk berganding bahu bagi menunjukkan sisi terbaik diri masing-masing sebagai manusia menerusi gambar.

“Melalui kempen ini, kami harap dapat menyampaikan cerita tentang keberanian, harapan, dan belas kasihan seseorang.

“Paling utama, kami harap dapat melihat rakyat Malaysia yang berdaya tahan dan tekal bangkit,” katanya.

Pertandingan fotografi itu – yang berakhir pada 12 Jun lalu – menerima 200 penyertaan.

“Memperkasakan perpaduan dalam kalangan jiran ketika kewarasan kita diuji,” coret seorang responden dalam gambar di atas, yang dapat dilihat sedang berkongsi makanan bersama jirannya. 

Antara cerita yang dikongsi ialah bagaimana jiran-jiran membuka kumpulan WhatsApp untuk mengatur urusan pembelian runcit dengan bergilir-gilir ke kedai bagi mengurangkan potensi dijangkiti Covid-19.

Bagi responden muda dan celik teknologi pula, mereka menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu jiran yang lebih tua melangsaikan urusan yang sebelum ini dilakukan di luar dunia maya.

Ia termasuklah aktiviti keagamaan yang selalunya dilakukan semasa Ramadan.

“Saya dapat membantu jiran-jiran berusia di kawasan saya membuat tadarus al-Quran dalam talian sepanjang Ramadan,” kata responden itu.

“Kami buat sesi tadarus selama satu jam setiap kali selepas solat lima waktu, dan setiap orang membaca satu halaman al-Quran.

“Alhamdulillah, kami berjaya habiskan 30 juzuk al-Quran pada hari ke-26 Ramadan,” katanya.

Seorang lelaki muda membantu jirannya yang lebih tua menganjurkan kumpulan tadarus al-Quran dalam talian agar ibadah tradisi Ramadan itu tetap dapat diteruskan 

Di sebuah kolej universiti pelajar – yang terkandas selama beberapa bulan – berganding bahu untuk menjana pendapatan menerusi bazar makanan dalam talian dan aktiviti kitar semula.

Ada juga yang memanfaatkan kelebihan peribadi. Hobi seperti memasak, berkebun, kesihatan dan melukis dimanfaatkan untuk menjana duit, dengan bantuan media sosial.

Seorang pelajar sekolah menengah – yang berdepan kesukaran untuk memberikan fokus pada kelas dalam talian – menemui cara untuk kekal bermotivasi, iaitu dengan mencipta akaun Instagram bagi berkongsi tip belajar.

Cari cara kurangkan tekanan

“Agak menyentuh hati untuk melihat masyarakat, termasuk kanak-kanak dan pelarian, tampil melangkaui kepentingan sendiri untuk mencari penyelesaian yang inovatif agar dapat membantu sesama sendiri ,” kata pakar program untuk Inovasi dan Kelestarian Unicef, Issmail Nnafie.

“Lebih-lebih lagi sekarang, kita perlu mengambil berat tentang mereka yang paling mungkin terdedah . Pandemik ini menunjukkan bahawa melainkan kita semua dilindungi, tidak ada seorang pun yang akan selamat,” tambah Issmail.

Pelajar-pelajar yang terkandas di asrama pula menggunakan masa mereka dengan mengumpul bahan kitar semula untuk dijual

Penyertaan pertandingan gambar itu boleh dilakukan dengan menghantar SHARE ke +6016 800 1919 menerusi Telegram atau WhatsApp. Setiap penyertaan yang menang akan menerima baucar bernilai RM100.

Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada langkah pemetaan penyelesaian oleh UNDP dan Unicef untuk mengetahui isu dan inovasi rakyat di peringkat akar umbi semasa wabak Covid-19.

Antara penyertaan yang popular adalah gambar dan video parti Zumba, aerobik di rumah, karaoke dalam talian, sesi bergambar di rumah, jurnal penghargaan, sidang video bersama kawan-kawan.

Semuanya menjadi cara untuk mengurangkan tekanan terkurung di rumah sepanjang hari.

“Kami dapat rasa kehangatan persahabatan meskipun menerusi skrin yang dingin,” kata seorang responden.

Berkongsi ruang ketika semua ahli keluarga ada di rumah juga boleh menjadi keadaan yang mencabar.

Ahli keluarga pula mencari jalan menerusi penyelesaian luar talian seperti membuat tanda “jangan ganggu”, atau berkomunikasi dalam talian menerusi kumpulan WhatsApp keluarga. Ini termasuklah mengambil giliran untuk penggunaan TV, dan menempah slot untuk permainan video.

Rapat walau jurang usia besar

PKP juga menyebabkan sesetengah perayaan disambut dalam lingkungan, termasuklah Hari Ibu. Untuk sebuah keluarga, ia bermaksud mereka harus mencari resipi dalam talian demi menjayakan jamuan buat ratu hati mereka.

Situasi PKP yang tidak dijangkakan ini turut memperuntukkan masa buat keluarga menjalin hubungan dengan orang tersayang di rumah.

Bagi sebahagian ibu bapa, inilah masanya untuk menerapkan pendidikan penting, termasuklah nilai syukur.

“Anak saya yang berusia sembilan tahun menyenaraikan semua perkara yang dia syukuri sepanjang tempoh PKP.

“Saya letak di diding sebagai sebahagian daripada jurnal syukur dia,” kongsi seorang ibu.

Untuk yang lain pula, ia merupakan peluang untuk membina hubungan sesama keluarga, seperti pasangan adik beradik ini, yang mempunyai jurang usia 12 tahun.

Gambar-gambar ini menunjukkan aktiviti saya dengan adik saya pada lewat tengah hari ketika PKP. Aktiviti ini bukan saja membantu kami mengekalkan kecegasan fizikal, tapi juga membantu melindungi kesihatan mental kami,” kongsinya.

“Melalui sukan, kami menjadi lebih rapat meskipun jurang usia kami sangat besar. Ia membantu saya eratkan hubungan dengan adik saya,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda