RM42j duit SRC dicuri orang tak dikenali, kata peguam bela Najib


shadow

Aliran keluar wang RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd (SRC) adalah sebahagian daripada kecurian oleh beberapa orang yang tidak dikenali dan ia tidak diketahui Najib Razak, kata peguam bela bekas perdana menteri itu hari ini.

Semasa penyampaian penghujahan lisan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi, Harvinderjit Singh berkata itu adalah antara kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan bukti yang dikemukakan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Peguam bela Najib itu berpendapat bahawa hal itu dapat dilihat kepada penglibatan sejumlah individu dan entiti dalam aliran keluar dana berkenaan dari akaun SRC.

Semasa peringkat pendakwaan perbicaraan, pihak pendakwaan berpendapat bahawa RM42 juta masuk ke akaun Najib antara akhir 2014 dan awal tahun 2015.

Berhujah di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, peguam bela itu menyimpulkan kecurian berkenaan bertentangan dengan inti tiga tuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadap Najib.

Najib sedang dibicarakan atas satu tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC yang ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB.

Sepanjang perbicaraan di peringkat pembelaan, mahkamah diberitahu bahawa Najib tidak menyedari tindakan beberapa individu seperti ahli perniagaan Jho Low memindahkan wang keluar dari SRC.

“Kami mengatakan bukan CBT tetapi pencurian oleh orang yang tidak dikenali menyebabkan RM42 juta dikeluarkan (dari SRC International),” kata Harvinderjit (bawah), menekankan bahawa Najib tidak pernah menyedari perkara ini.

Penghujahan lisan itu akan bersambung di depan Mohd Nazlan esok.

Hari ini adalah hari kedua pasukan pembelaan Najib mengemukakan hujah lisan setelah pihak pembelaan menutup penghujahan kes mereka pada 11 Mac lalu.

Sebelum ini Mohd Nazlah menetapkan 1 hingga 3 Jun untuk mendengar keterangan lisan oleh pihak pembelaan dan pihak pendakwaan.

Tinggalkan komen anda