Wang diterima Musa Aman itu sumbangan dana politik – Peguam


shadow

Pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman adalah tidak berasas kerana wang itu adalah sumbangan dan dana politik.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Musa berkata jumlah wang yang menjadi subjek pendakwaan sebenarnya telah diperjelaskan semasa siasatan terdahulu, iaitu ia merupakan sumbangan-sumbangan politik yang diberikan oleh penyokong-penyokong parti, penderma, orang awam, dan Barisan Nasional (BN) pusat bagi kegunaan persediaan pilihan raya kecil dan umum, aktiviti-aktiviti dan perbelanjaan BN Sabah.

“Segala dokumen-dokumen yang relevan dan berkaitan telah dibekalkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada semua masa material, sumbangan-sumbangan politik tersebut tidak melibatkan mana-mana projek untuk negeri Sabah, konsesi pembalakan dan bukan atas dasar balas-membalas atau quid pro quo basis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amer Hamzah yang merupakan seorang daripada peguam mewakili Musa berkata pemberian ataupun penerimaan sumbangan politik bukanlah merupakan suatu kesalahan di Malaysia.

“Perkara ini telah disahkan oleh pihak SPRM melalui kenyataan dibuat Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki (pada ketika itu) sendiri yang menegaskan bahawa pemberian dan penerimaan sumbangan politik bukan satu kesalahan dan pihak SPRM tidak mempunyai bidang kuasa ke atas urusan sumbangan-sumbangan politik di Malaysia seperti yang dilaporkan New Straits Times pada 7 Oktober, 2017,” katanya.

Menjelaskan mengenai kes itu, Amer Hamzah berkata pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan semua pertuduhan yang dihadapi anak guamnya dan telah mengemukakan fakta-fakta secara terperinci di dalam afidavit sokongan Musa.

“Dokumen-dokumen yang penting dan relevan, antaranya daripada Independent Commission Against Corruption of Hong Kong (ICAC) telah dilampirkan di dalam afidavit tersebut.

“Secara tambahan, pihak kami juga telah memfailkan afidavit bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail,” katanya.

Amer Hamzah berkata anak guamnya pernah disiasat oleh ICAC dan juga SPRM antara tahun 2008 sehingga 2011 dan sepanjang tempoh siasatan oleh ICAC dan SPRM, kedua-dua pihak telah bekerjasama dan berkomunikasi dan menjalankan siasatan masing-masing dengan profesional.

Katanya setelah menjalankan siasatan yang menyeluruh, SPRM telah mendapati tiada elemen rasuah, dan wang yang disiasat merupakan sumbangan politik.

“Perkara ini telah disahkan oleh mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM iaitu Datuk Seri Mustafar Ali dan telah memaklumkan kepada ICAC melalui surat bertarikh September, 2011 kepada ICAC.

“Setelah menjalankan siasatan menyeluruh, pihak ICAC mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 22 Disember, 2011 kepada anak guam kami yang menyatakan bahawa siasatan terhadap anak guam telahpun selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Tan Sri Musa Aman,” katanya.

Panel penilaian operasi SPRM setuju

Beliau berkata hasil siasatan oleh ICAC jelas menunjukkan bahawa Musa tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadapnya.

Peguam itu berkata, berkenaan dengan siasatan yang dijalankan oleh pihak SPRM pada ketika itu, hasil siasatan tersebut telah dikaji dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan bahawa Musa tidak terlibat dalam apa-apa amalan rasuah dan apa-apa kesalahan pengubahan wang haram.

“Hasil siasatan dan keputusan untuk tidak meneruskan atau tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anak guam kami telah diperhalusi oleh, antara lainnya, Tan Sri Abdul Gani, mantan Peguam Negara, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah, mantan Ketua Bahagian Pendakwaan, Tan Sri Abu Kassim Mohammad, mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan Datuk Seri Mustafar Ali mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

“Hasil keputusan siasatan ini juga dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut telah diperhalusi dengan teliti dan telah melalui saluran undang-undang sedia ada,” katanya.

Amer Hamzah berkata Pendakwa Raya yang profesional perlulah konsisten dan mempertahankan keputusan terdahulu yang telah diputuskan selepas melalui proses-proses yang sepatutnya.

“Apatah lagi apabila pendakwaan pada November 2018 bukanlah berdasarkan kepada fakta baharu, tetapi berasaskan kepada fakta-fakta yang sama yang telah disiasat dan diputuskan tidak mendedahkan unsur rasuah oleh ICAC dan SPRM.

“Ini adalah untuk mencerminkan integriti dan profesionalisme bukan sahaja bagi pejabat Pendakwa Raya tetapi juga bagi Jabatan Peguam Negara secara keseluruhannya. Maka apa yang telah dilakukan oleh Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun adalah sesuatu yang adil dan tepat di sisi undang-undang.

“Pertuduhan-pertuduhan terhadap anak guam kami adalah tidak berasas kerana wang-wang yang berkenaan adalah sumbangan dan dana politik,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan itu, pihaknya percaya Idrus berserta barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu telah meneliti, dan mempertimbangkan permohonan peguam di mahkamah secara objektif dengan mengambil kira segala sudut undang-undang dan juga aspek keadilan.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini melepaskan dan membebaskan Musa daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda