6 saksi beri keterangan kes aktivis didakwa mencabul


shadow

Enam individu sudah dirakam keterangan masing-masing berhubung dakwaan serangan seksual membabitkan seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata ketika ini pihaknya sedang dalam proses melengkapkan siasatan.

“Ada enam saksi sudah dipanggil untuk dirakamkan keterangan mereka.

“Apabila ia selesai, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau kepada Malaysiakini.

Terdahulu seorang doktor lelaki membuat laporan polis mendakwa aktivis terbabit memeluk dan mencabulnya pada hari pertama dia melaporkan diri untuk bertugas.

Doktor berusia 27 tahun itu juga mendakwa aktivis berkenaan – berusia 50-an – mencium leher dan pipinya. Suspek menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat.

Polis kemudian mengambil keterangan daripada aktivis berkenaan pada 9 Julai lalu sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Menurut polis kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama aktivis tersebut kerana kes itu belum dibawa ke mahkamah dan untuk melindungi identiti pengadu.

Tinggalkan komen anda