Ahli Parlimen tak perlu lagi jalani ujian Covid-19, kata KP Kesihatan


shadow

AHLI Parlimen tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, bagaimanapun semua ahli Parlimen perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika hadir ke sidang dewan.

“Parlimen perlu mematuhi semua SOP tetapi ini tidak termasuk ujian calitan atau swab test.

“Sekiranya ada gejala baru kita akan jalankan swab test.

“Bagaimanapun, ujian seperti pemeriksaan suhu badan dan pemakaian pelitup muka adalah perlu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata, ujian calitan juga tidak akan dijalankan ke atas mereka yang lain, kecuali sekiranya terdapat gejala.

Ahli Parlimen sebelum ini pernah menjalani ujian ketika hadir pada sidang Parlimen sehari 18 Mei lalu.

Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak menyatakan sama ada petugas media perlu menjalani ujian berkenaan.

Minggu lalu, Pegawai Komunikasi Parlimen Muhammad Afiq Mohd Hanif berkata, semua ahli Parlimen, ahi kabinet dan pegawai kerajaan termasuk pemberita yang membuat liputan persidangan Dewan Rakyat, perlu menjalani ujian untuk Covid-19.

Menurutnya, ujian berkenaan merupakan syarat daripada Kementerian Keshatan dan ia perlu dibuat sebelum 10 Julai.

Katanya, petugas media perlu menanggung sendiri kos ujian berkenaan, dan menambah sama ada mereka dibenarkan mendapatkan ujian di bangunan Parlimen selain klinik swasta masih dibincangkan.

Tinggalkan komen anda