Bekas CEO 1MDB nafi sekongkol dengan Jho Low, Leissner


shadow

BEKAS ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halim nafi bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan bekas eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner dalam pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion.

Saksi kesembilan pendakwaan pada perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak itu juga menafikan turut bersekongkol dengan dua lagi eksekutif untuk menetapkan harga bidaan yang dicadangkan bagi pengambilalihan syarikat tenaga milik hartawan Ananda Krishna itu pada awal 2012.

Ketika disoal balas peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed, Shahrol Azral, 50, berkata beliau tidak tahu sama ada Goldman Sachs sengaja menaikkan harga bidaan untuk mendapat bayaran lebih tinggi.

Shahrol Azral juga menafikan beliau berpakat dengan Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Wan Aizuddin: Saya katakana bahawa kamu bersekongkol dengan Jho Low dalam urusniaga ini dengan tawaran imbuhan dari Jho Low.

Shahrol Azral: Saya tidak setuju.

Wan Aizuddin: Saya katakana bahawa Jho Low berhubung dengan kamu, mengenai urusniaga ini, dan mengarahkan kamu memadam semua komunikasi antara dia dan kamu.

Shahrol Azral: Dia banyak kali arahkan saya padam, tetapi yang ini saya tak ingat. 

Pembelaan juga mahu membuktikan bahawa Leissner, sekutu Jho Low, merancang supaya 1MDB setuju untuk ambil alih TEHSB pada harga RM10.6 bilion.

Saksi itu menafikan beliau tahu menahu wujud konspirasi atau sejarah antara Leissner dan Ananda.

1MDB ketika itu dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). Najib ketika itu menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Tinggalkan komen anda