Dewan Rakyat: Isu peniaga gulung tukar, subsidi petrol antara tumpuan


shadow

Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), isu alam sekitar dan peniaga terpaksa ‘gulung tikar’

antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-11 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu PSP terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan tarikh baharu pelaksanaan PSP selepas ia ditangguhkan Kabinet.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula bertanyakan Menteri Alam Sekitar dan Air mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pemantauan aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar terpelihara daripada pencemaran serta statistik tindakan diambil terhadap syarikat yang mencemarkan alam sekitar.

Isu alam sekitar terus ‘disentuh’ oleh Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang bertanya mengenai usaha penghantaran balik kontena plastik haram ke negara asal seperti yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Persoalan itu antara lain turut membangkitkan jumlah kontena yang sudah dihantar balik dari Mac hingga Jun 2020 dan perincian negara terbabit.

Isu peniaga gulung tikar turut akan dibangkitkan menerusi soalan Tan Kok Wai (Cheras-DAP) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai jumlah perniagaan yang telah ‘menggulung’ perniagaan mereka di dalam bulan April, Mei, Jun dan Julai.

Turut ditanya mengenai jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh yang sama.

Isu pekerja asing di negara ini turut menarik perhatian Dewan Rakyat seperti dibangkitkan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar-PKR) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pekerja asing yang sah dan masih bekerja.

Beliau juga ingin mengetahui bagaimana pemantauan dapat dilakukan terutama daripada aspek keselamatan dan kesihatan ke atas pekerja asing.

Turut dijangka menjadi perhatian ialah persoalan yang dibangkitkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) kepada Menteri Dalam Negeri berhubung langkah strategik bagi mengesan lorong tikus aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin ke Malaysia.

Sidang Dewan pada hari terakhir minggu ketiga ini juga, akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Tinggalkan komen anda