Kegagalan di Sabah tambah masalah Perikatan


shadow

KEGAGALAN untuk mengambil semula Sabah menerusi wakil rakyat keluar parti menjadi rintangan besar kepada Perikatan Nasional (PN), yang pada masa ini mulai terjejas akibat keputusan Umno untuk kekal dengan pakatan Muafakat Nasional, kata penganalisis.

“Ini tamparan besar kepada PN, bekas ketua menteri Musa Aman, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas gagal mengambil semula Sabah tanpa pilihan raya,” kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Awang Azman yang berasal dari Sarawak, mengulas keputusan Gabenor Juhar Mahiruddin untuk membubarkan dewan undangan negeri (DUN) Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya baharu.

Ini tamparan kedua buat PN selepas Umno berkata ia bukan sebahagian daripada PN walaupun ia kekal menyokong kerajaan sekarang.

Presiden Warisan Shafie Apdal semalam berkata beliau meminta Juhar membubarkan DUN susulan Musa mendakwa mendapat sokongan 33 Adun di DUN yang mempunyai 65 wakil rakyat.

Terdahulu sebelum dakwaan Musa itu, pembangkang terdiri daripada Bersatu, Barisan Nasional dan beberapa Adun bebas mempunyai 20 undi sementara Warisan 45. Tetapi dengan 13 Adun beralih arah bermakna Shafie tidak lagi mempunyai majoriti.

Presiden Warisan Shafie Apdal semalam berkata beliau meminta Juhar Mahiruddin bubar DUN susulan Musa Aman mendakwa dapat sokongan 33 Adun di DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.
Presiden Warisan Shafie Apdal semalam berkata beliau meminta Juhar Mahiruddin bubar DUN susulan Musa Aman mendakwa dapat sokongan 33 Adun di DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

Susulan PN mengambil alih Putrajaya, gabungan itu turut mengambil semula Johor, Melaka, Perak dan Kedah, tanpa perlu pilihan raya baharu diadakan.

Walaupun bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari juga cuba membubarkan DUN sebelum kerajaan negeri jatuh, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno dan Gabenor Mohd Khalil Yaakob enggan membenarkan permohonan itu, memberi laluan kepada Umno untuk mengambil semula negeri itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata keputusan untuk membubarkan DUN Sabah adalah tepat kerana Sabah jadi tidak stabil selepas lebih 13 Adun membuat keputusan menyokong Musa.

“Langkah PN untuk mengambil alih kerajaan negeri Sabah menggunakan deklarasi berkanun (SD) memberi tanggapan bahawa mereka terpikat dengan tawaran,” kata Azlan.

“Maka, tindakan mengadakan pilihan raya baharu adalah tepat kerana ia memberi rakyat Sabah peluang untuk memilih lagi, bukan seperti apa yang berlaku di beberapa  negeri di semenanjung susulan pengambilalihan PN terhadap Putrajaya,” katanya.

Siapa ada kelebihan?

Dengan pilihan raya baharu dijangka diadakan dalam tempoh dua bulan, kedua-dua penganalisis sains politik itu percaya Warisan ada kelebihan.

Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN. Kerusi DUN Sabah bertambah dari 60 kepada 73 selepas rang undang-undang diluluskan di Parlimen pada Julai 2019.

Jika Musa Aman menang pilihan raya di Sabah, ia isyarat untuk PN mengadakan pilihan raya umum baharu di peringkat persekutuan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.
Jika Musa Aman menang pilihan raya di Sabah, ia isyarat untuk PN mengadakan pilihan raya umum baharu di peringkat persekutuan, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

“Warisan lebih berpotensi kerana ia parti tempatan dan politik Sabah berasaskan kepada nasionalisme kaum,” kata Awang Azman.

“Bersatu dan Umno akan dilihat sebagai parti yang cuba menggulingkan Warisan tanpa sebab kukuh ketika negara sedang sibuk berperang dengan pandemik Covid-19.”

Tetapi beliau berkata politik wang dan kecenderungan lompat parti akan terus kekal menjadi kelaziman di negeri itu.

Walaupun Shafie ada kelebihan, bahaya masih wujud untuk presiden Warisan itu susulan kemampuan Musa menyebabkan 13 wakil rakyat keluar parti, kata Azlan.

“Musa juga akan bantu kerajaan persekutuan PN,” katanya.

Tetapi kedua-dua pihak ada kelemahan, kerana Shafie tidak dapat memenuhi semua janji manifestonya sepanjang dua tahun mentadbir sementara Musa masih terpalit skandal rasuah walaupun dibebaskan daripada 46 pertuduhan, selepas PN memegang kuasa.

Azlan berkata kejayaan di Sabah bergantung pada tokoh besar, tetapi calon tempatan.

“Tetapi jika Musa menang pilihan raya di Sabah, ia jadi isyarat untuk PN supaya mengadakan pilihan raya umum baharu di peringkat persekutuan,” katanya.

Tinggalkan komen anda