Kita tak boleh ditikam lagi, pesan Anwar kepada Pakatan


shadow

PENGERUSI Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menggesa rakan komponen gabungan itu supaya mengekalkan semangat penubuhan dan tidak bergantung kepada pihak yang akan “menikam” mereka pada satu masa nanti.

Tanpa menamakan sesiapa, walaupun gesaan itu jelas merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya, Anwar yang juga presiden PKR itu menambah yang PH tidak boleh bergantung kepada sesiapa yang membuat keputusan tanpa rundingan.

“Letak jawatan ikut sesuka hati tanpa rujukan kepada sesiapa, kucar kacir kita, langgar prinsip, manifesto, dan juga lain-lain,” kata Anwar, pada siaran langsung di Facebooknya, malam tadi.

Beliau turut menafikan PH- kini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah- rapuh susulan kemelut isu calon perdana menteri.

“Dalam kerangka PH, kalau mahu kita bersama, mesti kekal pada landasan perjuangan, kalau mahu kita bersama dalam PH, semangat yang ada dalam PH itu jangan dirungkai, jangan seolah-olah kita ini terdesak terpaksa bergantung kepada dahan yang rapuh yang kemudian akan menikam kita, sepertimana yang telah berlaku sebelum ini.

“Oleh yang demikian, kalau kita mahu mula, kukuhkan PH, DAP, Amanah, PKR, itu serangkai keluarga yang harus mantap dan kuat,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkannya dipercayai merujuk kepada pendirian Amanah dan DAP yang mahu menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri gabungan berkenaan, sebelum ini.

“Kita bersama dahulu dalam agenda yang jelas, berjuang puluhan tahun untuk pertahankan ini, dan kalau kita mahu merebut kekuasaan kerana ini mandat rakyat, maka kita kena faham apa dia mandat rakyat pada 2018.

“Bukan sekadar calon perdana menteri sahaja, walapun itu sudah ditandatangani dan diakui,” kata Anwar, lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas kemelut dalaman gabungan itu membolehkan pihak luar ambil kesempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.
Kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas kemelut dalaman gabungan itu membolehkan pihak luar ambil kesempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Anwar berkata, pertikaian berhubung calon perdana menteri antara gabungan itu mula timbul apabila berlakunya perbezaan pendapat dalam perbincangan mereka.

“Amanah dan DAP tidak pernah pertikai mandat rakyat, hanya setelah berlakunya perbezaan dan keengganan sesetengah pihak untuk menerima, ditanya apakah ada ruang sementara sebelum diganti ini yang menjadi pertikaian,” kata Anwar.

Namun begitu katanya, perkara itu tidak seharusnya menjejasan hubungan antara mereka walaupun ahli akar umbi bertelagah.

“Walaupun di bawah ada kadang-kadang sedikit tegur menegur dan serang menyerang, saya harap hal ini dapat dihentikan, ini tidak menganggu pendirian kita sebagai PH,” katanya, lagi.

Dalam perbincangan PH bersama pemimpin Bersatu yang disingkirkan- gabungan yang kini dikenali sebagai PH Plus- DAP dan Amanah mahu Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu manakala Anwar menjadi timbalan perdana menteri selama enam bulan.

PKR bagaimanapun menolak cadangan itu dan tetap mahukan Anwar menjadi perdana menteri.

Ekoran itu, Dr Mahathir bersama kepimpinan DAP dan Amanah bersepakat tanpa PKR untk menamakan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, dan Anwar berganding jawatan timbalan perdana menteri bersama anak Dr Mahathir, yang juga Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Anwar juga menegaskan yang PH tidak seharusnya menyerahkan tengkuk mereka sewenang-wenangnya yang “bukan cara kita”.

“PKR sudah sampaikan pandangan kita, dan kita mesti berpegang kepada mandat rakyat pada pilihan raya umum 2018.

“Tidak boleh biarkan kita terdedah, diserah tengkuk, bergaduh ikut suka, nak calonkan sesiapa sahaja, itu bukan cara kita,” kata Anwar lagi. 

Tinggalkan komen anda