Kluster baharu Covid-19 dikesan di Melaka


shadow

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini mengesan satu kluster baharu di Melaka iaitu ‘Kluster PUI (individu dalam siasatan) Novgorod’ apabila terdapat kes ketiga dikesan hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua daripada kluster itu.

Kluster itu dinamakan sempena bandar bersejarah Novgorod di Rusia. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan hari ini kes pertama kluster itu merupakan seorang warga Malaysia iaitu kes ke-8,673 yang telah pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai, tahun ini.

Keputusan saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai. Keputusan saringan Covid-19 bagi kes ke-8,718 di pintu masuk antarabangsa didapati negatif,” katanya.

“Namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai dan saringan ulangan didapati positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kes ketiga bagi kluster itu melibatkan bapa kepada kes ke-8,718.

“Ketibaan beliau (kes ke-8,718) di Malaysia pada 6 Julai telah disambut oleh anggota keluarga. Seramai empat orang anggota keluarga telah datang bersama menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

“Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes itu turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau (kes ke-8724) mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod ,” jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 14 orang kontak rapat telah dikenal pasti dalam kluster itu dan kesemua mereka telah disaring dan dikesan negatif Covid-19. – Bernama

Tinggalkan komen anda