LFL: Pihak berkuasa belum jelaskan kesalahan Md Rayhan


shadow

Keputusan pihak berkuasa untuk mengusir dan menyenaraihitamkan warga Bangladesh yang diwawancara Al Jazeera, Md Rayhan Kabir tidak berasas kerana dia tidak melanggar undang-undang, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Koordinator LFL Zaid Malik berkata, pihak berkuasa setakat ini “gagal” menyatakan apakah kesalahan Md Rayhan yang menyebabkan tindakan drastik itu.

“Kami telah meneliti kenyataan Rayhan dalam dokumentari (Al Jazeera) dan dengan tegas mengatakan dia tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang negara.

“Jelas, tindakan pihak berkuasa adalah satu bentuk tindakan balas ke atas dakwaan diskriminasi yang dinyatakan Rayhan dalam dokumentari itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rayhan dikehendaki untuk membantu siasatan selepas muncul dalam dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan Al Jazeera yang mengundang kritikan.

Dia ditahan oleh Jabatan Imigresen pada 25 Julai lalu dan akan direman selama 14 hari di pusat tahanan Imigresen.

Selain permit kerja dibatalkan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dia juga akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Bagaimanapun, Rayhan menafikan membuat tuduhan palsu mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap pendatang tanpa izin ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam wawancara itu dan “hanya bercakap mengenai diskriminasi terhadap pendatang asing”.

Dalam pada itu, Zaid berkata penangkapan Rayhan akan menyebabkan golongan migran lain takut untuk bersuara atau melaporkan diskriminasi terhadap mereka, termasuk yang dilakukan penguatkuasa.

“Rayhan hanya menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan terhadap serbuan ke atas komuniti migran ketika PKP. Perkara sama telah dibuat oleh aktivis dan NGO tempatan.

“Maka tiada sebab yang sah untuk pihak berkuasa menggunakan pendekatan hukuman seperti itu terhadap Rayhan kerana kenyataannya,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan pembatalan permit kerja Rayhan melanggar Seksyen 9(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Seksyen itu berkenaan kuasa ketua pengarah Imigresen untuk menghalang kemasukan atau membatalkan permit mana-mana individu untuk keselamatan dan kepentingan awam.

Tinggalkan komen anda