Malaysia rekod sifar penularan tempatan Covid-19


shadow

MALAYSIA buat pertama kali hari ini mencatat sifar kes jangkitan baharu Covid-19 membabitkan penularan dalam negara sejak 2 Mac, kata Dr Noor Hisham Abdullah. 

Ketua pengarah kesihatan itu berkata hanya satu kes import yang dilaporkan, membabitkan seorang rakyat Malaysia yang baru pulang dari Turki.

“Sukacita dimaklumkan tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan hari ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

“Pertama kalinya pada hari ini Malaysia mencatatkan kes harian terendah sepanjang tempoh gelombang kedua wabak.”

Dr Noor Hisham berkata seramai 144 pesakit sedang dirawat di seluruh negara. Daripada jumlah itu 4 berada di unit rawatan rapi dan 2 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Hari ini juga hari ke-20 tiada kes kematian dilaporkan, menjadikan jumlah kematian setakat ini kekal 121 kes.

Selain itu, seramai 21 pesakit pulih dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, kata Dr Noor Hisham.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah 8,375.” 

Tinggalkan komen anda